2018年9月22日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
22 September 2018
Penghargaan kepada MOF kerana pengecualian cukai untuk Tabung Pembangunan Pendidikan Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia
Pernah dua kali Dong Zong mengutus surat kepada Kementerian Kewangan, menyeru agar dana yang dikutip atas nama Tabung Pembangunan Pendidikan untuk “Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia”, dikecualikan cukainya, yang dianggarkan bernilai RM853,000. Akhirnya kami menerima maklum balas positif daripada Kementerian Kewangan. Yang berikut adalah kenyataan media kami:-
- Untuk melaksanakan reformasi pendidikan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) secara berkesan, agar kesinambungan pembangunan SMPC Malaysia terjamin, kami telah menubuhkan Kumpulan Gerak Khas “Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia” pada tahun 2016. Kami mengumpulkan ahli akademik dan pengamal pendidikan bahasa cina, untuk mengkaji secara menyeluruh “Kerangka Pembaharuan SMPC” yang dibentangkan pada tahun 2005.
Satu kajian yang menyeluruh tentang SMPC Malaysia telah dijalankan, mengumpul pandangan daripada pengelola SMPC, pengetua, guru, pelajar, ibu bapa, lepasan SMPC dan mereka yang prihatin terhadap pendidikan bahasa cina. “Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia” telah dirangka berdasarkan pandangan responden tersebut, untuk melakar wawasan dan halatuju pembangunan SMPC 10 tahun akan datang. Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia akan dibentangkan kepada umum secara rasmi pada 12 Ogos 2018. Dari segi perbelanjaan, untuk memastikan perancangan Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia dilaksanakan secara berkesan, kami telah mengerah tenaga massa untuk kutipan dana pada tahun 2017, menyasarkan RM5 juta sebagai matlamatnya. Kami telah berjaya mengutip lebih RM5 juta pada 30 September 2017.
Namun, dana untuk tabung pembangunan pendidikan yang melebihi RM5 juta ini berdepan dengan pencukaian yang dianggarkan berjumlah RM853,000. Dong Zong ialah satu badan pendidikan non-profit, lebih-lebih lagi, dana yang diperolehi melalui kutipan derma ini digunakan untuk tujuan pendidikan. Justeru itu, surplus atau dana kutipan derma seharusnya dikecualikan cukai oleh kerajaan, sebagai galakan agar lebih banyak pertubuhan masyarakat menyumbang untuk pendidikan negara.
Dua pucuk surat rasmi telah diutus kepada Menteri Kewangan, pada 23 Mac dan 8 Jun tahun ini, memohon agar anggaran cukai sejumlah RM853,000 ini dikecualikan. Pada 12 September, kami menerima surat daripada Kementerian Kewangan yang bertarikh 24 Ogos, menyatakan secara jelas bahawa permohonan pengecualian cukai tersebut telah diluluskan. Kami merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan atas keterbukaannya. Untuk kami, inilah kerajaan pilihan rakyat yang mendengar suara rakyat dan mengambil langkah proaktif untuk memberi galakan, agar masyarakat memberi sumbangan kepada bidang pendidikan.
- Selain itu, antara usul yang diluluskan dalam mesyuarat ke-91 Dong Zong bersama ahlinya di peringkat negeri, adalah “menggesa agar kerajaan mengecualikan cukai secara automatik terhadap surplus dan kutipan derma oleh badan pendidikan non-profit atau pertubuhan sosial, juga pendermanya, sebagai galakan agar lebih banyak badan sosial menyumbang untuk bidang pendidikan negara.”
Ingin kami nyatakan, bahawa tidak kurang badan pendidikan non-profit atau pertubuhan sosial yang menderma dan menyumbang, untuk mengatasi kekurangan daripada kerajaan dalam bidang pendidikan. Ramai bakat yang berpotensi dipupuk. Penglibatan badan dan pertubuhan secara sukarela ini telah menyumbang kepada negara. Kerajaan sepatutnya memberi peruntukan, sebagai galakan dan sokongan agar badan dan pertubuhan sedemikian boleh mempertingkatkan gerak kerjanya.
Kami berharap agar kerajaan mengambil langkah proaktif dari segi penggubalan dasar. Dengan kata lain, dasar pengecualian cukai terhadap penderma dan unit yang dimanfaatkan bagi tujuan pembangunan pendidikan harus digubal.
2018年9月21日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
21 September 2018
Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia, seandainya ada permintaan daripada calon peperiksaan, maka pengawas peperiksaan yang fasih bahasa ibunda boleh menjelaskan butiran terperinci peperiksaan kepada pelajar dengan bahasa ibunda. Pada masa yang sama, arahan telah diberikan kepada jabatan pendidikan negeri untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya seorang daripada pengawas peperiksaan yang dihantar ke SJKC dan SJKT, perlu memahami bahasa ibunda, agar penerangan boleh diberikan jikalau calon peperiksaan tidak memahami butiran terperinci kertas peperiksaan. Dong Zong dan Jiao Zong tidak bersetuju dengan langkah ini, bahkan bertanggapan bahawa ia bertujuan untuk menjustifikasikan langkah tidak wajar yang sedang diamalkan, iaitu menghantar pengawas peperiksaan yang tidak fasih bahasa Cina ke SJKC. Seandainya masyarakat Cina tidak tampil menyatakan bantahan, ia bakal menghakis ciri-ciri SJKC. Yang berikut adalah kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong.
1. Sekolah daripada pelbagai aliran pendidikan menjadikan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan peperiksaan. Justeru itu, ketua pengawas peperiksaan yang dihantar ke aliran sekolah yang berbeza haruslah menguasai bahasa ibunda aliran sekolah berkenaan. Misalnya, sekolah aliran bahasa cina menjadikan bahasa cina sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan peperiksaan, maka sebagai orang yang paling utama dalam dewan peperiksaan, ketua pengawas peperiksaan haruslah menguasai bahasa cina, supaya dapat mengendalikan segala hal-ehwal yang berkaitan dengan peperiksaan, termasuk menerangkan butiran peperiksaan kepada calon. Inilah yang sewajarnya, dan seharusnya berlaku, barulah ia sejajar dengan ciri-ciri SJKC, dan juga pendirian yang dipegang Dong Jiao Zong selama ini.
2. Untuk sekian lama, Kementerian Pendidikan Malaysia menghantar ketua pengawas peperiksaan ke sekolah pelbagai aliran berdasarkan prinsip tersebut. Namun demikian, sejak beberapa tahun kebelakangan, kes terasing berlaku lantaran kekhilafan sesetengah pegawai. Sesetengah kes terasing diselesaikan segera setelah dibantah masyarakat Cina, namun terdapat juga sesetengah kes yang tidak diselesaikan secara tuntas, lantas menimbulkan kesulitan kepada SJKC berkenaan. Pada tahun ini, masalah menjadi semakin ketara susulan daripada keputusan Jabatan Pendidikan Johor untuk menghantar ketua pengawas peperiksaan yang tidak fasih bahasa cina ke SJKC, lantas ia mencetuskan ketidakpuasan masyarakat Cina. Mereka mendesak agar timbalan menteri menyelesaikan masalah tersebut.
3. Apa yang dikesali, belumpun isu hangat ini menemui penyelesaiannya, Jabatan Peperiksaan Malaysia pula mengeluarkan kenyataan bahawa sekurang-kurangnya seorang pengawas peperiksaan yang ditugaskan ke SJKC dan SJKT harus menguasai bahasa ibunda, agar penerangan selanjutnya boleh diberikan jikalau calon tidak memahami butiran peperiksaan. Kenyataan tersebut tidak menetapkan agar ketua pengawas peperiksaan wajib menguasai bahasa ibunda, sebaliknya hanya menyatakan “sekurang-kurangnya seorang pengawas peperiksaan perlu menguasai bahasa ibunda”. Jelas, ia bertujuan untuk menjustifikasikan langkah tidak wajar yang sedang berlaku di sesetengah negeri sekarang, iaitu ketua pengawas peperiksaan yang dihantar ke SJKC tidak menguasai bahasa ibunda. Dong Jiao Zong tidak berpuas hati dengan senario ini, dan khuatir ciri-ciri SJKC yang menjadikan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar utama pengajaran dan peperiksaan akan terhakis seandainya amalan ini tidak dihentikan.
4. Selain itu, Lembaga Peperiksaan Malaysia turut menyatakan bahawa seandainya terdapat permintaan daripada calon peperiksaan, pengawas peperiksaan yang menguasai bahasa ibunda boleh menjelaskan butiran dalam bahasa ibunda. Dong Jiao Zong menganggap ketetapan ini adalah tidak wajar. Di SJKC, ketua pengawas peperiksaan seharusnya menjelaskan butiran peperiksaan secara langsung kepada pelajar SJKC, dan bukannya berbuat demikian hanya apabila diminta. Keadaan sedemikian harus diperbetulkan, kerana bukan sahaja ia memberi kesan kepada calon peperiksaan, malah kesan jangka panjang terhadap SJKC. Pada masa yang sama, selain syarat bahawa ketua pengawas peperiksaan perlu menguasai bahasa cina, jabatan pendidikan negeri harus menghantar pengawas yang menguasai bahasa ibunda yang secukupnya mengikut keperluan ke sekolah berkenaan, untuk memastikan peperiksaan dijalankan dengan lancar.
5. Dong Jiao Zong ingin menegaskan, ketua pengawas peperiksaan yang dihantar ke SJKC harus menguasai bahasa cina, tidak kira apa aliran sekolah atau etnik beliau, agar beliau dapat mengendalikan segala hal ehwal peperiksaan. Ini adalah langkah yang wajar, yang ditegaskan masyarakat cina secara umum. Reaksi masyarakat cina terhadap isu ini berpunca daripada keprihatinan, juga bertitik tolak daripada prinsip untuk mempertahankan pendidikan bahasa cina. Teo Nie Ching tidak seharusnya melihatnya sebagai reaksi yang keterlaluan, sebaliknya harus mendengar dan akur kepada suara masyarakat cina, lantas mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut, termasuk menarik balik kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia tersebut. Beliau harus menyatakan dalam bentuk bertulis bahawa ketua pengawas peperiksaan yang dihantar ke sekolah pelbagai aliran harus menguasai bahasa ibunda sekolah tersebut, agar ciri-ciri SJKC tidak terhakis.
6. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong menyeru agar Teo Nie Ching mengaturkan tarikh pertemuan bersama kami secepat mungkin, agar isu pendidikan bahasa cina yang tercetus baru-baru ini, termasuk isu ketua pengawas peperiksaan UPSR boleh diperbincangkan, dan ditemukan jalan penyelesaian.
2018年9月16日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
16 September 2018
Dalam rombakan struktur organisasi pentadbiran jabatan pendidikan negeri terkini, jawatan dan kedudukan penyelia Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan penyelia bahasa cina menjadi semakin tidak menentu, malah mencungkil kebimbangan jawatan-jawatan ini dimansuhkan. Dong Zong dan Jiao Zong amat prihatin terhadap perkara ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:
1. Menurut Teo Nie Ching, rombakan sistem pendidikan tidak memansuhkan jawatan penyelia Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan penyelia bahasa cina. Sungguhpun demikian, Dong Jiao Zong menganggap kenyataan timbalan menteri tidak merungkaikan kegusaran masyarakat cina. Dalam rombakan struktur organisasi jabatan pendidikan negeri terkini, perkataan “bahasa cina” telah dimansuhkan daripada jawatan asalnya “penyelia bahasa cina”, dan digantikan dengan “penolong pengarah unit bahasa”, dipertanggungjawabkan untuk menyelia pelbagai mata pelajaran bahasa. Sementara itu, perkataan “SJKC” telah dimansuhkan daripada jawatan penyelia SJKC, digantikan dengan “penolong pengarah sekolah rendah”, dipertanggungjawabkan untuk menguruskan sekolah pelbagai aliran. Dengan kata lain, tidak dinyatakan dengan jelas bahawa jawatan itu dikhususkan untuk menyelia “mata pelajaran bahasa cina” dan “SJKC”. Bukan sahaja jawatan dan kedudukan “penyelia” menjadi tidak menentu, malah boleh mengundang penyelewengan, lebih-lebih lagi sekolah aliran tertentu dan mata pelajaran bahasa tertentu mungkin diremehkan. Situasi inilah yang menjadi kegusaran kami.
2. Hakikatnya, lantaran daripada keistimewaan SJKC dan mata pelajaran bahasa cina, calon untuk menyandang jawatan penyelia SJKC dan penyelia bahasa cina perlu memenuhi syarat dan kelayakan tertentu, misalnya penguasaan bahasa cina. Justeru itu, Dong Jiao Zong menggesa agar Timbalan Menteri KPM Teo Nie Ching mengekalkan jawatan penyelia SJKC (atau penolong pengarah SJKC) dan penyelia bahasa cina (atau penolong pengarah unit bahasa cina), malah melantik mereka yang berkelayakan untuk menyandang jawatan tersebut, agar SJKC dan pendidikan bahasa cina di sekolah menengah kebangsaan tidak terjejas.
3. Penyelia SJKC dan penyelia bahasa cina di setiap negeri memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan pendidikan bahasa cina. Misalnya, sejak KPM mewujudkan jawatan penyelia bahasa cina di setiap negeri pada tahun 2000, kelas bahasa cina di sekolah menengah kebangsaan semakin diperbaiki keadaannya, malah pembelajaran bahasa cina menjadi semakin berkesan. Langkah ini adalah tepat, dan harus diperkasa untuk mencapai kesan yang lebih baik. Begitu juga, penyelia SJKC amat diperlukan untuk penyelarasan dan pengurusan isu pembangunan SJKC, termasuk pengagihan tenaga pengajar, peruntukan, pengajaran di SJKC, dasar pentadbiran dan sebagainya.
4. Tambahan pula, selain melaksanakan dasar pendidikan kerajaan, SJKC dan SJKT memiliki ciri-cirinya tersendiri, misalnya “Lembaga Pengelola Sekolah” di SJKC. Di samping itu, penyelia yang masak dengan operasi SJKC diperlukan untuk memantau program “penyayang”, “makanan berkhasiat”, juga program-program untuk memupuk nilai dan budaya Tiong Hua. Justeru itu, kedua-dua jawatan ini tidak boleh dimansuhkan kerana ia boleh menjejaskan pembangunan pendidikan bahasa cina.
5. Kami ingin menegaskan bahawa struktur organisasi jabatan pendidikan negeri yang baru harus mengekalkan jawatan dan kedudukan penyelia SJKC dan penyelia bahasa cina, untuk mengendali hal-ehwal SJKC dan mata pelajaran bahasa cina sekolah menengah dalam negeri secara khusus, agar kedudukan dan pembangunan SJKC dan pendidikan bahasa cina terjamin. Memandangkan isu ini agak penting dan terdesak, Dong Jiao Zong memohon untuk bertemu dengan timbalan menteri KPM, Teo Nie Ching pada masa terdekat, untuk membincangkan isu ini dan mencari muafakat agar masalah ini boleh diselesaikan dengan baik.
2018年9月5日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama 10 Pertubuhan Cina Berhubung Mata Pelajaran Sejarah Sekolah Rendah
5 September 2018
- Mukadimah
Sejak tahun 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Di bawah KSSR, sejarah tergolong sebagai mata pelajaran teras yang wajib untuk tahap II (iaitu Tahun 4, 5 dan 6), dimulai untuk Tahun 4 pada tahun 2014, dan disusuli dengan Tahun 5 dan 6 seterusnya.
Malaysia ialah sebuah negara yang berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama. Justeru itu, adalah penting untuk menyemai kefahaman dalam kalangan pelajar sekolah pelbagai aliran, terutamanya fakta sejarah bagaimana semua golongan etnik bersama memperjuangkan kemerdekaan dan berganding bahu membangunkan negara. Ia membantu untuk memupuk semangat saling memahami, menghormati dan bekerjasama dalam kalangan generasi baru semua etnik, lantas memperkasa perpaduan negara dan keharmonian masyarakat.
Namun demikian, sejak buku teks sejarah sekolah rendah diterbitkan, kandungannya mencungkil pelbagai pertikaian. Antara yang dipertikaikan adalah, kandungan buku teks sejarah sekolah rendah yang berat sebelah dan memperlihatkan perspektif yang tunggal. Ia tidak sejajar dengan konteks negara kita yang dicorakkan dengan kepelbagaian kaum, bahasa, budaya dan agama dalam realiti. Ini akan mengakibatkan generasi baru kita gagal memahami sejarah dengan betul dan menyeluruh, bahkan dikelirukan, dan ia tidak baik untuk keharmonian dan perpaduan.
Selain itu, disebabkan buku teks sekolah jenis kebangsaan cina diterjemahkan secara langsung daripada buku teks sejarah sekolah kebangsaan edisi bahasa Melayu, maka kisah atau contoh yang digunakan kesemuanya berlaku dalam kehidupan harian pelajar sekolah rendah kebangsaan atau etnik yang tunggal. Ia agak berbeza dengan situasi kehidupan realiti pelajar sekolah rendah jenis kebangsaan cina, malah gagal mencerminkan situasi masyarakat majmuk kita yang sebenarnya, lantas menimbulkan kekeliruan sepanjang pengajaran dan pembelajaran, dan tidak memenuhi keperluan pengajaran di sekolah rendah jenis kebangsaan cina. Memandangkan masalah ini serius, maka sejak mata pelajaran Sejarah dilaksanakan di sekolah rendah, Jiao Zong bersama Majlis Bahasa Cina Malaysia telah mengumpulkan pakar sejarah untuk mengkaji secara terperinci buku teks setiap Tahun, malah memberi maklum balas kepada KPM melalui pelbagai saluran, agar kesilapan itu diperbetulkan. Apa yang dikesali, melainkan beberapa kesilapan teknikal seperti terjemahan, gambar hiasan dan tatabahasa, masalah yang lebih penting, misalnya kandungan yang jelas berat sebelah dan bertitik tolak dari perspektif tunggal, tidak dipandang berat oleh pihak berkenaan.
Memandangkan KPM sedang mengkaji semula, meminda kandungan mata pelajaran Sejarah, dan akan menggunakan buku teks sejarah edisi KSSR Semakan untuk Tahun 4, 5 dan 6 sekolah rendah pada tahun 2020, 2021 dan 2022, maka 10 pertubuhan cina utama di seluruh negara, termasuk Jiao Zong, Majlis Bahasa Cina Malaysia, Dong Zong, Hua Zong, Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Persatuan Alumni Universiti dan Kolej China, Malaysia, Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia, Centre For Malaysian Chinese Studies dan Merdeka Education Centre, juga pakar sejarah dengan sebulat suara bersetuju untuk menyerah memorandum kepada KPM, dengan mengetengahkan cadangan pindaan kandungan buku teks sejarah sekolah rendah. Kami memohon agar KPM memandang serius cadangan pertubuhan cina, memastikan kandungan buku teks sejarah yang dipinda selari dengan fakta sejarah, agar matlamat pendidikan mata pelajaran sejarah tercapai.
- Masalah kandungan buku teks sejarah sekolah rendah
2.1 Kandungan yang bertitik tolak dari perspektif tunggal, tidak memperlihatkan konteks Malaysia yang berbilang bangsa, bahasa dan budaya
Walaupun KSSR Sejarah menekankan amalan nilai moral, semangat patriotisme, unsur sivil dan kesedaran sivik, agar pelajar mengenali negara kita sebagai negara yang berbilang bangsa, bahasa, budaya dan agama, lantas menyemai semangat patriotisme, memupuk semangat perpaduan dan mendukung demokrasi. Hakikatnya, unsur-unsur ini tidak diterapkan sepenuhnya dalam standard pembelajaran kurikulum agar pelajar memahami situasi negara kita sebagai negara majmuk, termasuk hakikat bahawa kita memiliki bahasa, budaya, agama, adat dan aliran pendidikan yang berbeza.
Jikalau diambil contoh Tajuk 1: Mari Belajar Sejarah, kandungan dan gambar hiasan yang berkaitan dengan individu, keluarga, sekolah dan tempat kediaman, kesemuanya berdasarkan kehidupan komuniti Melayu dan sekolah rendah kebangsaan. Ia langsung tidak sesuai sebagai bahan pengajaran sekolah rendah pelbagai aliran, kerana tidak mencerminkan realiti negara kita sebagai negara berbilang kaum. Pada hemat kami, kandungan yang bertitik tolak dari perspektif yang tunggal ini akan memberi konsep yang salah kepada pelajar, sehingga gagal memahami situasi kepelbagaian dalam negara kita yang sebenar. Ia harus diperbetulkan.
Selain itu, buku teks Tahun 5, Tajuk 1: Warisan Negara Kita, tertumpu kepada agama Islam dan bahasa Melayu sebagai warisan negara, dan mendakwa bahawa ia merupakan warisan yang berasal daripada zaman kesultanan Melaka. Hujah sebegini tidak selari dengan fakta, kerana sebelum kesultanan Melaka dan kemasukan Islam, agama Hindu, Buddha dan bahasa Sanskrit telah memberi kesan yang mendalam terhadap pembangunan budaya, agama dan bahasa di negara kita. Bukan sahaja ia memperkayakan corak kepelbagaian, malah ia warisan negara yang bernilai.
Justeru itu, buku teks sejarah sekolah rendah tidak harus mencairkan atau menyahkan fakta sejarah ini, sehingga mengakibatkan pelajar gagal mengenali sejarah negara. Hakikatnya, selain kandungan yang mengisahkan agama Islam dan bahasa Melayu, harus ditambah juga kandungan mengenai “Agama dan anutan lain yang utama” dan “penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda bangsa yang lain” ke dalam unit ini, untuk mencerminkan realiti negara kita yang majmuk. Hanya dengan ini, pelajar akan memahami bahawa Malaysia adalah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum yang hidup berbilang makmur bersama, lantas memupuk semangat saling menghormati dan bekerjasama dalam kalangan pelajar.
2.2 Sesetengah kandungan yang tiada kaitan dengan sejarah
Tujuan mata pelajaran Sejarah KPM diperkenalkan di sekolah rendah adalah supaya pelajar menuntut dan menguasai pengetahuan sejarah. Namun, buku teks sejarah sedia ada bukan sejarah yang tulen, kerana sebahagian kandungannya tersasar dari pengetahuan sejarah, dicampur aduk dengan pendidikan sivil, juga unsur dan nilai pendidikan moral. Ia akan menimbulkan salah faham pelajar sekolah rendah terhadap sejarah.
Misalnya, bab yang tiada kaitan dengan sejarah termasuklah Menghargai Masa, Kenali Diri Saya, Keluarga Asas Saya, Panggilan Keluarga Di Malaysia, Keluarga Yang Bahagia, Pentingnya Alam Sekitar dan Indahnya Alam Sekitar. Bab-bab ini lebih cenderung kepada Pendidikan Moral. Hakikatnya, kandungan dan nilai ini telah dimasukkan dalam kandungan Pendidikan Moral. Ia menyebabkan pertindihan kandungan antara Pendidikan Moral dengan Sejarah.
Selain itu, buku teks sejarah Tahun 6, Unit 7: Malaysia Di Persada Sukan dan Unit 8: Kegiatan Ekonomi Negara – kesemuanya tiada kaitan dengan pengetahuan sejarah dan harus dipadamkan.
2.3 Penyuntingan kandungan yang prejudis, subjektif dan berat sebelah
Buku teks sejarah sekolah rendah seharusnya disunting berdasarkan fakta sejarah dan konteks negara kita yang majmuk, termasuk pengiktirafan terhadap sumbangan setiap kelompok kaum dalam pembangunan negara, dan bukannya terbawa-bawa dengan prejudis yang subjektif, dan berat sebelah untuk mengutamakan atau mengabaikan sejarah dan kaum tertentu. Kandungan yang tidak sesuai dan tidak lengkap ini akan mengakibatkan kegagalan pelajar untuk menguasai dan belajar tentang pengetahuan sejarah yang menyeluruh.
Misalnya, dalam buku teks Sejarah Tahun 4, terdapat empat unit di bawah Tajuk 5, Tokoh-Tokoh Terbilang Kesultanan Melayu Melaka, kesemua kandungannya berkaitan dengan Kesultanan Melaka. Walaupun kandungannya satu pertiga dari kesemua muka surat buku teks Sejarah Tahun 4, tetapi ia hanya menonjolkan tiga tokoh sejarah, iaitu Parameswara, Tun Perak dan Hang Tuah. Sebaliknya, ramai tokoh dan peristiwa sejarah yang penting ketika zaman Kesultanan Melaka tidak disebut dalam buku teks, termasuk kegemilangan zaman pemerintahan Sultan Mansor, hubungan Kesultanan Melaka dengan Dinasti Ming, Pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Melaka dan sebagainya.
Selain itu, Tajuk 4: Kerajaan Melayu Awal dengan sengaja mengabaikan fakta sejarah bahawa tamadun India memberi kesan terhadap kerajaan Melayu awal.
Buku teks sejarah Tahun 5, Tajuk 2: Perjuangan Kemerdekaan Negara, disediakan agar pelajar mengetahui perjuangan tokoh-tokoh tempatan menentang penjajahan, lantas mencungkil semangat patriotik dan kesedaran sivik. Namun demikian, kandungannya hanya tertumpu kepada penentangan terhadap penjajah British, tetapi tidak disebut penentangan daripada pelbagai kaum terhadap tentera Jepun ketika zaman penjajahan Jepun.
Buku teks sejarah harus mengisahkan sumbangan setiap etnik dalam pembangunan negara. Andainya pengisahan tidak sejajar dengan fakta pembinaan negara, secara sengaja atau tidak, bukan sahaja ia gagal membentuk pandangan sejarah generasi muda yang betul, malah mengelirukan generasi baru, mencetuskan konflik, jurang dan syak wasangka yang tidak perlu, malah menjejaskan perpaduan nasional.
2.4 Kesilapan kandungan, tatabahasa, istilah dan maklumat
Terdapat kesalahan fakta dalam buku teks Sejarah sekolah rendah yang harus diperbetulkan. Antaranya, disebabkan buku teks Sejarah SJKC diterjemahkan secara terus daripada buku teks edisi sekolah rendah kebangsaan, maka wujudnya banyak kesalahan tatabahasa dan istilah yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru dan pelajar.
Misalnya, buku teks sejarah Tahun 4, Tajuk 5: Tokoh Terbilang Kesultanan Melayu Melaka, terdapat gambar hiasan yang salah untuk menjelaskan pelayaran pedagang China ke Melaka. Zaman tersebut adalah Dinasti Ming, tetapi orang China yang berada dalam gambar hiasan itu berpakaian Dinasti Qing. Ia tidak bertepatan dengan fakta sejarah dan mengakibatkan pelajar memperolehi ilmu pengetahuan yang salah.
Selain itu, terdapat juga kesalahan dalam buku teks Sejarah Tahun 5, termasuklah bendera Myanmar, yang sebenarnya bendera lama; manakala Portugis (1511-1641) menjajah Melaka untuk menguasai perdagangan rempah-ratus dan menyebarkan agama katolik, bukan untuk menguasai perdagangan rempah-ratus dan menyebarkan agama Kristian sebagaimana yang disebut dalam buku teks.
Jelas, masalah-masalah ini menunjukkan proses penyuntingan buku teks sejarah sekolah rendah yang kurang rapi, lantas mencungkil pertikaian orang ramai terhadap pengajaran mata pelajaran Sejarah yang dilancarkan KPM. Justeru itu, untuk mengembalikan keyakinan semua, KPM harus memandang berat masalah ini, mengkaji semula dan memperbetulkan yang salah agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.
- Permintaan dan cadangan kami
Untuk menyelesaikan masalah buku teks Sejarah sekolah rendah, kami mengetengahkan cadangan dan permintaan yang berikut. Kami menggesa agar KPM memandang serius dan melaksanakannya:
3.1 Mengkaji semula KSSR Sejarah dan kandungan buku teks
KSSR Sejarah dan penyuntingan buku teksnya harus selari dengan matlamat sebenar pengajaran Sejarah, malah sesuai untuk pembelajaran sekolah rendah semua aliran, supaya pelajar menguasai konsep yang tepat dan menyeluruh tentang sejarah negara kita. Justeru itu, KPM seharusnya bertitik tolak dari perspektif profesional dan fakta sejarah, untuk mengkaji semula KSSR dan kandungan buku teks Sejarah sekolah rendah pelbagai aliran, menyunting dan menyelaras kandungan yang tidak sesuai, termasuk mengambil perspektif dari kandungan sejarah semata-mata, dan mencerminkan realiti kepelbagaian negara kita.
Buku teks sejarah harus mencerminkan konteks kepelbagaian etnik, budaya dan agama di negara kita. Justeru itu, kandungan buku teks yang mengutamakan mentaliti berpaksikan etnik tunggal harus diselaras dan diperbetulkan, agar ia sejajar dengan realiti kepelbagaian negara kita. Selain itu, kandungan yang tidak berkaitan dengan sejarah harus dipadamkan terus, agar tidak menjejaskan pembelajaran sejarah.
Kami mencadangkan beberapa pindaan KSSR Sejarah seperti yang berikut:
3.1.1 Kerajaan Melayu Awal dipengaruhi budaya India, termasuk agama, tulisan dan perayaan. Justeru itu, KSSR buku teks Sejarah Tahun 4, Tajuk 4: Kerajaan Melayu Awal harus ditambah dengan fakta bahawa kerajaan Melayu awal dipengaruhi budaya India.
3.1.2 KSSR buku teks Sejarah Tahun 5, Tajuk 6 Warisan Negara Kita, harus ditambah kandungan berkaitan dengan “Sistem Raja Berperlembagaan”, “Agama dan anutan lain yang utama”, juga “Penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda etnik berlainan”, agar lebih sesuai dengan konteks negara.
| Elemen dalam Unit asal |
Cadangan pindaan: |
| 1.Institusi Raja |
1.Institusi Raja dan Sistem Raja Berperlembagaan |
| 2.Agama Islam |
2.Agama Islam dan agama lain yang utama |
| 3.Bahasa Melayu |
3.Bahasa Melayu dan bahasa ibunda etnik lain |
Selain itu, KSSR Sejarah Tahun 5, Tajuk 7: Kedaulatan Negara, ketika mengisahkan peristiwa menentang penjajah asing, harus ditambah dengan pencerobohan pada zaman penjajahan Jepun, dan juga peristiwa pejuang tanahair dari pelbagai kaum ketika menentang penjajah Jepun.
3.1.3 KSSR Sejarah Tahun 6, Tajuk 12: Pencapaian dan Kebanggaan Negara mengisahkan prestasi sukan dan aktiviti ekonomi, yang tiada kaitan dengan sejarah. Maka kami mencadangkan agar kandungan ini dipadam terus.
3.2 Menubuhkan “Jawatankuasa Kurikulum Standard dan Buku Teks Sejarah Sekolah Rendah” yang terdiri daripada ahli akademik sejarah, pertubuhan dan perwakilan sekolah rendah pelbagai aliran
Kami menyeru agar KPM menubuhkan satu “Jawatankuasa Kurikulum Standard dan Buku Teks Sejarah Sekolah Rendah” yang terdiri daripada ahli akademik sejarah dari pelbagai etnik, pertubuhan dan perwakilan daripada sekolah pelbagai aliran, agar ahli akademik, pertubuhan dan unit berkenaan boleh terlibat dalam pemindaan kurikulum standard dan penyuntingan buku teks sejarah. Moga-moga, melalui perbincangan, cadangan yang membina diketengahkan, kurikulum standard dan kandungan buku teks sekolah rendah boleh diperbaiki, agar pelajar menguasai pembelajaran dan pengetahuan sejarah.
3.3 Buku Teks Sejarah Sekolah Rendah harus disunting dengan formula “Satu Prinsip, Edisi Berbeza”
Buat masa kini, kesemua buku teks Sejarah sekolah rendah dari semua aliran diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antaranya, edisi untuk sekolah kebangsaan adalah edisi asal, dan edisi buku teks sejarah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil diterjemahkan secara terus daripada edisi bahasa Melayu, termasuk digunakan gambar hiasan yang sama. Namun, sekolah kebangsaan, SJK Cina dan Tamil mempunyai ciri-ciri dan keperluan yang berbeza. Oleh itu, tidak sesuai untuk sekolah aliran yang berbeza menggunakan buku teks sejarah yang sama, termasuk edisi terjemahan terus.
Hakikatnya, untuk selama ini, buku teks sekolah aliran yang berbeza, termasuk Matematik, Sains, Pendidikan Moral dan lain-lain mata pelajaran diserah untuk disunting dan diterbitkan syarikat penerbit yang berbeza, berdasarkan KSSR yang diselaraskan KPM, untuk memenuhi keperluan yang berbeza dari sekolah pelbagai aliran. Ianya bukan diterjemahkan terus dari edisi untuk aliran sekolah tertentu. Memandangkan sekolah dari semua aliran menggunakan KSSR yang sama dan ditetapkan KPM, maka ilmu pengetahuan dan nilai yang diajar adalah sama, malah memenuhi permintaan KPM.
Oleh yang demikian, kami mencadangkan agar penyuntingan dan penerbitan buku teks Sejarah sekolah rendah disamakan dengan mata pelajaran lain, iaitu dibuka kepada syarikat penerbitan yang berbeza untuk menyunting dan menerbit berdasarkan Dokumen Standard Penilaian dan Kurikulum Sejarah yang diseragamkan KPM, dan disilang-semak oleh Bahagian Buku Teks dari KPM, agar memenuhi keperluan aliran sekolah rendah yang berbeza.
- Kesimpulan
Masalah-masalah buku teks Sejarah sekolah rendah yang sedia ada bukan sahaja gagal membentuk pandangan sejarah yang betul dalam kalangan generasi muda, malah boleh mengakibatkan kekeliruan. Ia bercanggahan dengan matlamat KPM untuk memupuk semangat saling mengenali dan perpaduan antara kaum dalam kalangan generasi muda melalui pengajaran mata pelajaran Sejarah.
Dengan ini, kami akan menyerah memorandum kepada KPM dalam masa terdekat, menggesa agar KPM memandang serius masalah yang timbul daripada kurikulum standard dan kandungan buku teks sejarah sekolah rendah, dan membuat pindaan yang sewajarnya, untuk memastikan kurikulum standard dan kandungan buku teks Sejarah sejajar dengan fakta sejarah, khususnya mencerminkan realiti negara kita sebagai masyarakat berbilang etnik, bahasa dan budaya.
2018年9月3日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
3 September 2018
Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 anjuran kerajaan telah meluluskan beberapa resolusi, termasuk “merombak sistem pendidikan sedia ada berdasarkan falsafah pendidikan kebangsaan, untuk membina sistem pendidikan satu aliran”. Dong Zong dan Jiao Zong terkejut dan tidak berpuas hati dengan perkembangan ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:
1. Untuk sekian lama, Pakatan Harapan (PH) mengecam dasar pendidikan yang tidak adil oleh mantan kerajaan, malah berjanji akan berlaku adil kepada semua aliran pendidikan seandainya menjadi kerajaan. Justeru itu, setelah PH memerintah, masyarakat Cina secara umumnya, termasuk Dong Zong dan Jiao Zong menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan baru ini. Kami berharap pendidikan bahasa cina diberikan ruang perkembangan yang lebih besar, dan diberi layanan yang sama rata. Namun demikian, Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 yang dianjurkan kerajaan telah meluluskan resolusi untuk membina sistem pendidikan satu aliran. Dong Zong dan Jiao Zong amat terkejut dan tidak berpuas hati dengan perkembangan ini. Lebih-lebih lagi, beberapa hari yang lalu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir mengungkit semula agenda untuk membina Sekolah Wawasan yang cuba menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semua aliran sekolah. Kini diluluskan pula resolusi untuk membina sistem pendidikan satu aliran, seolah-olah menyahut apa yang disarankan Tun. Fenomena ini agak menggusarkan. Kerajaan baru seharusnya menolak dasar pendidikan satu aliran oleh mantan kerajaan, untuk menunjukkan bahawa pertukaran kerajaan persekutuan buat kali pertama dalam sejarah selepas 61 tahun merdeka sedang meluncurkan Malaysia di landasan ke arah positif, kepelbagaian, keterbukaan dan progresif.
2. Dong Zong dan Jiao Zong menegaskan bahawa negara kita adalah masyarakat berbilang kaum dan budaya. Sistem pendidikan pelbagai aliran telah diamalkan sejak kemerdekaan, malah tiga jenis aliran sekolah telah didirikan pada peringkat pendidikan sekolah rendah, dengan bahasa Melayu, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar masing-masing. Hakikatnya, ini adalah hak yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan untuk semua golongan etnik. Justeru itu, pendidikan satu aliran bukan sahaja mengingkari semangat kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan, malah telah mencabul hak asasi setiap golongan etnik. Kami tidak akan berkompromi dalam isu ini.
3. Jikalau diimbas sejarah, kewujudan sekolah pelbagai aliran telah menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran negara, dengan memupuk bakat-bakat untuk negara. Ia bukan sahaja aset istimewa yang dimiliki negara kita, malah menjadikan Malaysia mempunyai kelebihan ketika bersaing di peringkat global. Justeru itu, kerajaan baru seharusnya memperkasa dan mempertahankan pembangunan sistem pendidikan pelbagai aliran untuk kebaikan kepada negara. Resolusi yang diusulkan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 adalah sesuatu yang terhasil daripada mentaliti ketinggalan zaman, ketika “matlamat akhir” digariskan pada tahun 1950-an. Mentaliti perkauman ekstrem yang sempit dan ketinggalan zaman ini harus dikecam dan dicegah, agar tidak menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara, yang sudah semestinya tidak menguntungkan pembangunan negara.
4. Ketika menyampaikan perutusan hari kemerdekaan, perdana menteri berjanji, kerajaan baru akan bertindak adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Hakikatnya, ia juga hasrat rakyat jelata. Oleh itu, Dong Zong dan Jiao Zong berharap agar perdana menteri melaksanakan apa yang diperkatakan, dengan menunaikan janji tersebut, termasuk menunaikan janjinya terhadap pendidikan bahasa Cina dalam manifesto pilihan raya umum secepat mungkin, agar integritinya terangkat. Pada masa yang sama, Dong Zong dan Jiao Zong menggesa agar kerajaan menggubal satu dasar yang adil untuk pendidikan pelbagai aliran, dengan mentaliti yang baru dan terbuka. Nilai dan sumbangan sekolah pelbagai aliran harus diiktiraf, dan masalah di mana pendidikan bahasa Cina tidak menerima layanan adil harus diselesaikan secara tuntas.
2018年9月1日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
1 September 2018
Meraikan Kepelbagaian Tunggak Perpaduan
Media cetak bahasa Cina melaporkan wawancara The Malaysian Insight (TMI) bersama Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad, menyentuh isu Sekolah Wawasan yang mencungkil pertikaian. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
- Menurut Sin Chew Daily yang menyiarkan semula laporan TMI, “PM Tun Mahathir mengungkit semula dasar Sekolah Wawasan, yakin dengan idea bahawa meletakkan semua pelajar di bawah satu bumbung membantu untuk mencapai matlamat perpaduan kaum”; “Pernah saya mencadangkan agar sekolah daripada tiga aliran ditempatkan bersama, tetapi ditolak pejuang pendidikan yang ekstrem”.
Untuk menjawab kenyataan PM, kami menganggap, hubungan etnik negara belum mencapai keharmonian sepenuhnya menjelang ulangtahun kemerdekaan ke-61. Ramai politikus menuding jari kepada kewujudan sekolah pelbagai aliran, sementara sesetengah mempercayai hujah sebegini tanpa berfikir panjang. Hakikatnya, punca sebenar keharmonian kaum tidak tercapai adalah kerana kegagalan kerajaan lalu untuk melaksanakan dasar keadilan, keterbukaan dan kepelbagaian, sehingga berlaku polarisasi kaum pada hari ini.
Dong Zong berpandangan bahawa terdapat pelbagai kaedah untuk memupuk perpaduan, termasuk pentadbiran kerajaan, khususnya dari segi perundangan, dasar dan pelaksanaan langkah-langkah; meraih pemikiran dan wacana yang terbuka, progresif dan kepelbagaian; memberi layanan yang adil kepada semua etnik dalam semua bidang; menghormati dan menyokong kepelbagaian dalam bahasa, budaya, aliran pendidikan, anutan agama; tidak mendiskriminasi, menindas atau meminggirkan sesuatu golongan; malah membuang fahaman dan ideologi yang sempit dan ketinggalan zaman.
- Kami ingin menyatakan bahawa program Sekolah Wawasan sebenarnya sedang melaksanakan “ultimate objective” atas nama “perpaduan rakyat”. Sekolah Wawasan adalah sejenis “sekolah peralihan”, untuk mengumpulkan sekolah daripada tiga aliran berbeza di bawah program Sekolah Wawasan, dan kemudiannya menyeragamkan bahasa pengantar kepada satu bahasa, iaitu bahasa kebangsaan (bahasa Melayu).
Kritikan kami terhadap Sekolah Wawasan bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi kita perlu mengimbas latar belakang sejarah dan konsepnya untuk memahami motif yang tersembunyi di sebalik program ini.
Pada 26 Ogos 1995, Menteri Pendidikan ketika itu, Najib Razak mengumumkan bahawa Sekolah Wawasan akan dibina di seluruh negara, di bawah Rancangan Malaysia ketujuh (tahun 1996-2000), iaitu menempatkan sekolah yang berlainan aliran, Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam kawasan yang sama. Pada Disember 1995, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengemukakan kertas bertajuk “Sekolah Wawasan: Konsep dan Pelaksanaan” dalam satu mesyuarat. Ini kali pertama KPM mengetengahkan nama “Sekolah Wawasan”.
Perkara 4.2 dalam kertas “Sekolah Wawasan: Konsep dan Pelaksanaan” menyatakan:
“4.2 Dalam usaha mencapai matlamat perpaduan negara, pendidikan memainkan peranan yang amat penting. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berteraskan Penyata Razak 1956 jelas menegaskan tujuan dasar pendidikan sebagai alat perpaduan bagi rakyat negara ini, khususnya di kalangan kanak-kanak sekolah. Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang seragam bagi semua jenis sekolah dilihat sebagai satu ciri yang paling penting dan perlu dilaksanakan sepenuhnya secara beransur-ansur.”
Sehingga awal tahun 2000, barulah kandungan kertas “Sekolah Wawasan: Konsep dan Pelaksanaan” yang dirangka KPM terdedah kepada umum. Pada 25 Julai 2000, Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) mengumumkan usul yang diluluskan dalam mesyuarat, iaitu 14 buah parti komponen BN sebulat suara bersetuju dengan pembinaan Sekolah Wawasan. Kerajaan BN telah membina lima buah Sekolah Wawasan. Bagaimanapun, lantaran daripada bantahan masyarakat, cubaan kerajaan untuk merealisasikan “ultimate objective” yang terkandung dalam Penyata Razak 1956 secara beransur-ansur, iaitu “melaksanakan dasar pendidikan satu aliran yang seragam”, dan “penghapusan sekolah pelbagai aliran” telah digagalkan.
- Dong Zong menegaskan, kami sudi dan tegas untuk menyokong sebarang usaha dalam menyatupadukan rakyat dan integrasi pelajar dari sekolah pelbagai aliran, dengan syarat kerajaan memberi hak dan kebajikan secara adil kepada semua golongan etnik, dan menyokong pembangunan sekolah pelbagai aliran dengan sikap adil dan terbuka.
Namun, seandainya mana-mana pihak, termasuk kerajaan Pakatan Harapan ingin melaksanakan agenda tersembunyi untuk menyeragamkan semua aliran sekolah kepada satu, misalnya Program Sekolah Wawasan yang merealisasikan “ultimate objective” dalam Penyata Razak 1956, atas nama memupuk integrasi pelajar antara sekolah pelbagai aliran, kami akan tampil untuk menyatakan bantahan yang keras.
Dong Zong ingin menegaskan, bahawa kami tidak menolak perpaduan rakyat. Kami tidak berniat untuk mengasing-asingkan pelajar daripada pelbagai etnik. Kami tidak menolak integrasi pelajar, tetapi kami menolak kerana program Sekolah Wawasan dipergunakan untuk merealisasikan “ultimate objective”.
- Hakikatnya, pada 28 Julai 1985, KPM mengemukakan “Program Sekolah Integrasi”, malah mengumumkan pelaksanaannya pada tahun 1986. Program ini cuba menempatkan SK, SJKC dan SJKT bersama di bawah satu bumbung atas nama perpaduan. Program yang mahu menyeragamkan bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran dengan bahasa kebangsaan ini adalah pendahulu kepada program Sekolah Wawasan.
Lantaran daripada bantahan komuniti cina, KPM telah berunding dengan Dong Jiao Zong pada 7 November 1985. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantikan Program Sekolah Integrasi dengan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Di bawah RIMUP, sekolah daripada pelbagai aliran akan menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai perwakilan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar, guru penolong kanan, dan guru. Jawatankuasa ini melibatkan diri secara sukarela dalam lapan aktiviti khas di luar waktu persekolahan (larian rentas desa, racewalking, bola sepak, bola keranjang, bola jaring, bola baling, hari sukan kanak-kanak, pembersihan kawasan sekolah), namun tidak boleh campur tangan dalam hal bahasa pengantar, kurikulum, pentadbiran, agama dan akademik sekolah masing-masing dalam apa bentuk pun, dan tidak menjejaskan ciri-ciri dan martabat sekolah terlibat. Semua sekolah dimanfaatkan bersama melalui peningkatan kerjasama. Pada tahun 1986, Buku Panduan Rancangan Integrasi Murid-murid Untuk Perpaduan diterbitkan KPM. 55 buah sekolah rendah dipilih ke dalam 18 kumpulan untuk eksperimen program ini pada awal tahun 1986.
Hakikatnya, RIMUP dilaksanakan untuk beberapa tahun di sekolah terbabit, dan mencapai kesan yang agak baik. Namun ia diketepikan oleh KPM kemudiannya. Pada tahun 2010, KPM mengetengahkan semula RIMUP. Aktiviti silang budaya dianjurkan oleh sekolah rendah pelbagai aliran yang terbabit, untuk mempertingkatkan integrasi antara pelajar. Ia memberi kesan tertentu, tetapi pihak yang berkenaan tidak menyokong dengan bersungguh-sungguh, terutamanya dari segi sokongan dana kos perbelanjaan.
Kami ingin menyatakan bahawa seandainya pihak berkenaan menyokong pembangunan sekolah pelbagai aliran, maka kami akan menyokong aktiviti untuk memperkukuhkan perpaduan pelajar antara sekolah dari pelbagai aliran, terutamanya Buku Panduan Rancangan Integrasi Murid-murid Untuk Perpaduan 1986 yang telah dipersetujui kedua-dua pihak Dong Jiao Zong dan KPM.
Kami menyeru agar kerajaan memandang berat bajet yang diperuntukkan, membekalkan dana yang mencukupi untuk menjayakan RIMUP.
2018年7月2日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
Pendirian Dong Zong Konsisten: Menginstitusikan Pembinaan Sekolah Pelbagai Aliran
2 Julai 2018
Menurut Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, beliau bersama Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah mengadakan taklimat pada 10 Oktober 2017, untuk menerangkan kepada Pengerusi Dong Zong dan Jiao Zong tentang kedudukan geografi dan kewajaran di sebalik pembinaan dan perpindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang bakal dilaksanakan. Menurut Wee, Dong Zong tidak membantah lokasi yang terpilih ketika itu, namun Dong Zong mempertikaikannya pula dalam satu kenyataan media pada 29 Jun. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
- Dalam isu pembinaan SJKC, Dong Zong menegaskan bahawa kami berpegang kepada prinsip dan pendirian menginstitusikan pembinaan SJKC. Ketika berdepan sama ada dengan mantan kerajaan Barisan Nasional mahupun kerajaan Pakatan Harapan, kami tetap berpegang kepada pendirian yang sama, iaitu pembinaan SJKC haruslah mengikut formula pembinaan sekolah rendah kebangsaan – pembinaan sekolah pelbagai aliran termasuk SJKC haruslah untuk menampung keperluannya. Tanah dan kosnya pula harus ditanggung kerajaan sepenuhnya.
- Ketika bertemu dengan Presiden MCA Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong pada 10 Oktober 2017, pimpinan Dong Zong telah menyerah satu memorandum berkaitan dengan pendidikan bahasa cina, menyentuh isu-isu yang terdesak untuk diselesaikan, termasuk menggesa agar kerajaan meluluskan permohonan Dong Zong untuk membina sebuah sekolah menengah persendirian cina (affiliated school); menginstitusikan pembinaan sekolah jenis kebangsaan cina, peruntukan yang adil kepada sekolah jenis kebangsaan cina, mengiktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC) dan menginstitusikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian cina.
Pada 12 November 2017, ketika berucap dalam jamuan malam anjuran Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Pulau Pinang, pengerusi Dong Zong telah menyatakan pandangan dalam isu pemilihan lokasi pembinaan dan perpindahan “10 (bina) + 6 (pindah)”sekolah (Projek 10+6). Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat Dong Zong yang diadakan pada 18 November 2017, “projek 10+6” juga dibincangkan, dan diputuskan agar dikenalpasti oleh Persatuan Lembaga Pengurus negeri masing-masing berkenaan lokasi dan bilangan sekolah yang tepat dan perlu untuk dibina. Dalam satu temubual media pada 21 Januari 2018, pengerusi Dong Zong berkata, kesemua 16 buah sekolah yang diluluskan pembinaan dan perpindahan kebanyakannya terletak di kawasan yang baru dimulakan pembangunannya beberapa tahun kebelakangan. Sebaliknya, menurut siasatan Dong Zong, kawasan yang memerlukan pembinaan SJKC tidak berada dalam senarai projek 10+6 yang diumumkan.
Daripada maklumat di atas, tuduhan Datuk Seri Wee Ka Siong bahawa “Dong Zong tidak membantah lokasi pembinaan dan perpindahan sekolah sebermulanya” adalah tidak berasas. Kami memohon agar Wee Ka Siong lebih berhati-hati dan menyemak fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.
- Selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, setiausaha jawatankuasa pembinaan 5 SJKC dan perpindahan 2 SJKC di Johor, Datuk Tan Cher Puk berkata, wakil rakyat Pakatan Harapan harus meluluskan peruntukan secepat mungkin, terutamanya RM20 juta yang diperlukan di peringkat awal, untuk memastikan proses pembinaan dan perpindahan SJKC disempurnakan dengan lancar. Kenyataan ini mengundang kekeliruan, apakah upacara pecah tanah sebelum hari pengundian PRU14 diadakan tanpa peruntukan kerajaan? Sejak pengumuman projek 10+6 pada 26 Oktober 2017, sehinggalah parlimen dibubarkan pada 7 April 2018, adakah kerajaan ketika itu meluluskan secara rasmi peruntukan yang diperlukan untuk pembinaan dan perpindahan SJKC? Mengapa kerajaan pada ketika itu tidak memperuntukkan tanah sekolah untuk projek 10+6 ini, sebaliknya menuntut agak pemaju perumahan menderma tanah untuk pembinaan sekolah?
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula 8 buah SJKC daripada projek “10+6” ini. Tujuan dan hasrat Dong Zong adalah menggesa agar penilaian semula KPM bukan sahaja menjernihkan kekeliruan di atas, malah memohon agar kerajaan memilih lokasi pembinaan sekolah di kawasan yang padat penduduknya, dan juga terdesak keperluannya untuk membina SJKC.
- Dong Zong menyeru agar parti pemerintah dan parti pembangkang mengetepikan perselisihan antara satu sama lain, untuk menyelesaikan masalah ini atas prinsip menghormati pendidikan bahasa ibunda dan memenuhi keperluan pendidikan masyarakat. Sejajar dengan pertukaran kerajaan baru, kami menaruh harapan agar kerajaan baru memperlihatkan tekad untuk melaksanakan pembaharuan, dan menunjukkan keikhlasan dengan melayan sekolah pelbagai aliran secara adil. Mentaliti kerajaan lama untuk menjadikan sistem pendidikan kepada satu aliran sahaja harus dikikis. Kami mencadangkan agar kerajaan mengambil sikap yang lebih telus dan terbuka, menubuhkan satu jawatankuasa yang merangkumi parti pemerintah dan pembangkang, pertubuhan pendidikan berkenaan dan ahli akademik untuk meneliti dasar pembinaan dan perpindahan SJKC dan SJKT dari sudut keperluan pendidikan dan profesional pendidikan, agar masalah ini diselesaikan secara tuntas.
2018年6月29日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
29 Jun 2018
SJKC harus dibina mengikut keperluan
Kerajaan harus tanggung semua kosnya
Menurut pengumuman Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik, daripada 16 buah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang diluluskan pembinaan dan perpindahan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelumnya, enam buah sekolah yang berada di dalam senarai perpindahan sudah dimulakan pembinaannya; dua buah sekolah dalam senarai pembinaan yang telah dimulakan pembinaan akan diteruskan. Lapan buah sekolah selebihnya yang berada dalam senarai pembinaan, akan dikaji semula berdasarkan keperluan, keadaan fiskal, faktor ketelusan dan sebagainya. Berhubung perkara ini, kenyataan media Dong Zong adalah seperti berikut:-
- Sesungguhnya, 16 buah sekolah dalam senarai pembinaan dan perpindahan yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional sebelumnya, amat sukar difahami prinsip dan ukuran penentuan lokasinya. Sesetengah kawasan yang penuh sesak dengan pelajar, didesak bertahun-tahun agar dibina sekolah di situ, tidak berada dalam senarai. Sebaliknya, sesetengah lokasi yang dipilih, berada dalam kawasan yang bakal dibangunkan kemudiannya. Keadaan sedemikian bercanggah dengan prinsip untuk meredakan masalah keterdesakan keperluan. Beberapa lokasi yang diluluskan mantan kerajaan BN dipertikaikan, misalnya kawasan perumahan baru yang jarang penduduknya (misalnya SJKC Lee Loy Seng di Ijok), kawasan yang mempunyai beberapa buah SJKC berdekatan dengan populasi pelajar antara 400 hingga 600 (misalnya Kota Seriemas di Negeri Sembilan). Tidak ditolak kemungkinan lokasi tersebut dipilih atas pertimbangan politik untuk meraih undi.
2.Kami menggesa agar kerajaan boleh menunaikan manifesto pilihan raya umum, iaitu melaksanakan dasar yang adil kepada semua aliran sekolah, sementara menilai semula projek pembinaan dan perpindahan SJKC berkenaan.
- Kami menegaskan bahawa kerajaan seharusnya bertindak adil ketika mengendalikan isu pembinaan dan perpindahan sekolah pelbagai aliran pendidikan; dan menggubal dasar berkenaan secara saksama mengikut keperluan pendidikan.
Kami memohon agar kerajaan menginstitusikan pembinaan sekolah pelbagai aliran, merujuk kepada formula pembinaan sekolah kebangsaan, dengan kos pembinaan dan tanah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Selain itu, kerajaan seharusnya menyatakan dengan jelas pengagihan tanah simpanan untuk sekolah kepada semua aliran pendidikan, malah memformulakan ukuran penambahbinaan sekolah mengikut prinsip perancangan komuniti, struktur populasi dan keperluan. Kerajaan harus memberi arahan kepada kementerian berkenaan mengikut panduan yang dirangka Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, agar sekolah pelbagai aliran boleh dibina secara berkesan. (tamat)
2018年6月8日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
8 Jun 2018
Kelas Komputer Percuma Untuk SJKC
Dalam satu surat rasmi daripada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 17 April 2018, sekolah tidak dibenarkan untuk melaksanakan kelas komputer pada waktu persekolahan. Walau bagaimanapun, kelas komputer boleh dilaksanakan di luar waktu persekolahan. Yang berikut adalah kenyataan Dong Zong berhubung isu ini:
- Dalam surat rasmi KPM tersebut, pelaksanaan kelas komputer dengan kutipan yuran adalah bercanggahan dengan ketetapan dan panduan surat pekeliling. Kami ingin menegaskan bahawa kami menyokong larangan KPM untuk melaksanakan kelas komputer dengan kutipan yuran pada waktu persekolahan. Pendidikan sekolah rendah di negara kita adalah pendidikan wajib yang percuma.
- Kami menegaskan bahawa sekolah jenis kebangsaan cina adalah juga sebahagian daripada pendidikan percuma yang ditawarkan negara. Kesemua kurikulum dalam waktu persekolahan adalah percuma. KPM harus bertanggungjawab untuk menawarkan tenaga guru dan kurikulum bagi waktu persekolahan, dan bukan dikendalikan syarikat swasta. Kesemua kurikulum sepanjang waktu persekolahan wajib diikuti semua pelajar, dan tiada mana-mana pihak yang boleh memaksa pelajar untuk membayar yuran bagi pembelajaran yang tidak dijadualkan dalam kurikulum. Melaksanakan kelas komputer dalam waktu persekolahan, dan mengaturkan pelajar yang tidak membayar yuran untuk mengulangkaji di kelas mahupun perpustakaan, bukan sahaja tidak mematuhi penetapan kurikulum, malah tidak adil untuk pelajar berkenaan. Seandainya kelas komputer mahu dilaksanakan, maka ia haruslah dijadualkan di luar waktu persekolahan, dan menjadi sesi yang boleh dipilih secara bebas oleh pelajar, sama ada untuk mengikutinya atau tidak.
- Dong Zong menganggap pendidikan komputer di sekolah adalah tanggungjawab kerajaan. Kami menggesa agar KPM merancang semula pendidikan komputer, membuka kelas komputer untuk SJKC secara percuma, dengan bahasa cina sebagai pengantar, dilengkapi dengan kurikulum yang formal dan sesuai, tenaga pengajar, kemudahan dan pemeliharaan.
- KPM harus memperbetulkan amalan yang tidak adil terhadap SJKC sebelum ini, malah memacu pembangunan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), dan mengaplikasikan informasi dan teknologi komunikasi (ICT) dalam pengajaran, pembelajaran dan sistem pentadbiran sekolah. Sukatan kurikulum berkenaan harus diperbaiki, agar pembelajaran lebih berkesan. Malah, peranti ICT seperti komputer harus dibekalkan kepada SJKC secara mencukupi, disusuli dengan kelas komputer, tenaga pengajar, bahan pengajaran, sistem pentadbiran sekolah yang dikomputerisasikan, bantuan teknikal dan sebagainya.
- Kami menyeru agar Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menggunakan kuasanya untuk menangguhkan perintah bertarikh 17 April, yang dikeluarkan melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Atas kepentingan pelajar dan suara ibu bapa, penangguhan ini membolehkan pihak sekolah diberikan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan masalah kelas komputer berbayar dengan sebaiknya.
2018年3月28日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
28 Mac 2018
Jangan alih tumpuan, Dong Zong seru kerajaan mulakan prosedur pengiktirafan UEC
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Datuk Seri Najib telah mencadangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sejak tahun 2013 lagi, namun tidak berjaya kerana tidak diterima pimpinan Dong Zong ketika itu. Berhubung perkara ini, kenyataan Dong Zong adalah seperti berikut:-
1. Sejak beberapa tahun kebelakangan, berkali-kali Dong Zong menegaskan bahawa kami menerima gred kepujian bahasa Melayu dalam SPM sebagai syarat kerajaan menerima UEC untuk kelayakan memasuki universiti awam. Jikalau itulah yang dikehendaki, maka kami telah memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan untuk mengiktiraf UEC. Kami menyeru agar kerajaan menunjukkan keikhlasannya, dengan segera memulakan prosedur penerimaan UEC sebagai syarat kemasukan universiti awam.
2. Kami menyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan isu pengiktirafan UEC, atau mengalihkan tumpuan dengan hujah yang mengelirukan. Kami bertanggapan bahawa seandainya kerajaan ikhlas untuk menyelesaikan isu pengiktirafan UEC, mereka boleh memulakan prosedurnya dengan segera, dan tidak perlu menabur janji dalam manifesto agar isu diselesaikan kerajaan penggal seterusnya.
3. Untuk sekian lama, Dong Zong menyeru agar pihak yang berkenaan dalam kerajaan berjumpa dengan kami untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC. Sekali lagi kami menggesa agar kerajaan berjumpa dengan perwakilan Dong Zong, agar isu ini diselesaikan dengan baik.