fbpx

KPM Harus Umumkan Bilangan Pengambilan Khas Guru Pelbagai Mata Pelajaran  Sekolah Rendah Dan Menengah. Dong Zong Menyeru Graduan Dan Bakal Graduan Universiti Memohon Jawatan Guru.

Kenyataan Dong Zong

9 Julai 2021

KPM Harus Umumkan Bilangan Pengambilan Khas Guru Pelbagai Mata Pelajaran  Sekolah Rendah Dan Menengah.

Dong Zong Menyeru Graduan Dan Bakal Graduan Universiti Memohon Jawatan Guru.

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan melaksanakan pengambilan khas secara 'one-off' seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41, dan akan dibuka mulai 7 Julai sehingga 21 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah rendah dan menengah.

 

Dong Zong mengalu-alukan KPM dan SPP melaksanakan pengambilan khas guru tersebut dan menyeru pihak yang berkenaan mengumumkan kuota bilangan guru baharu yang akan diambil mengikut mata-mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah dalam masa terdekat, termasuklah mata-mata pelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan mata pelajaran Bahasa Cina di sekolah menengah. Maklumat ini boleh dirujuk oleh para pemohon dan membantu mereka memilih mata pelajaran dengan tepat supaya setiap kuota mata pelajaran dapat dipenuhi. Ini dapat mengelakkan terlalu ramai orang memohon beberapa mata pelajaran tertentu manakala mata pelajaran lain pula kekurangan permohonan, dan menyebabkan ramai orang gagal dalam permohonan mereka dan kuota pengambilan guru setiap mata pelajaran tidak dapat diisi dengan sepenuhnya.

 

Menurut KPM, Graduan Pendidikan dan Bakal Graduan Pendidikan (calon-calon) semester akhir pengajian daripada universiti awam, swasta atau luar negara adalah layak memohon jawatan mengikut bidang dan institusi pengajian yang telah tersenarai dalam Sistem Pengambilan Anggota Perkhidmatan Pendidikan (mySPP) serta mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Qualification Agency (MQA). KPM turut menyatakan urusan ini akan diperluas kepada graduan bukan iktisas pendidikan melalui kepelbagaian kaedah pelantikan pada fasa berikutnya jika masih terdapat kekosongan tidak dapat ditampung graduan pendidikan. Walau bagaimanapun, kami berasa kesal akan pengambilan tersebut yang tidak termasuk pengambilan guru prasekolah awal SJKC dan ini akan memudaratkan pembangunan pendidikan prasekolah SJKC di  negara kita.

 

SJKC menghadapi masalah kekurangan guru sejak sekian lama. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini,  beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Pendidikan Seni, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Muzik, Reka Bentuk dan Teknologi, Bimbingan dan Kaunseling, Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Khas untuk latihan perguruan kumpulan SJKC menghadapi masalah permohonan yang tidak mencukupi. Ini menyebabkan kuota pengambilan calon guru untuk mata-mata pelajaran tersebut tidak dapat diisi dengan sepenuhnya, manakala mata pelajaran lain seperti Bahasa Cina dan Matematik mendapat permohonan yang terlalu banyak sehingga ramai ditolak. Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) turut mengalami masalah kekurangan guru Bahasa Cina yang berpanjangan. Antara sebabnya ialah perangkaan perguruan KPM amatlah berbeza dengan keadaan sebenar data kekurangan guru SJKC di seluruh negara yang dikumpulkan oleh pertubuhan-pertubuhan pendidikan Cina. Di samping itu, terdapat banyak kes di mana para graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) telah lama menunggu dan tidak dihantar bertugas di SJKC. Kejadian yang kerap kali berlaku itu telah memaksa sebilangan graduan tersebut mencari kerjaya lain dan mengakibatkan kehilangan tenaga kerja barisan guru.

 

Dari segi perangkaan, bilangan unjuran calon guru yang diambil, bilangan calon guru yang lulus temuduga atau bilangan calon guru yang ditawarkan tempat hendaklah jauh melebihi bilangan had umur persaraan guru, persaraan awal dan meletakkan jawatan. Selain itu, KPM hendaklah menyelesaikan masalah ketidaksepadanan (mismatch) mata pelajaran yang diajar oleh guru (pelabelan guru). Unjuran keperluan, pembekalan dan kekurangan bilangan guru besar, guru kanan dan guru mata pelajaran hendaklah berdasarkan kepada data perguruan dan jadual masa yang tepat supaya mengecilkan atau merapatkan jurang kekurangan tenaga kerja guru. Ini barulah dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan guru.

 

Oleh itu, pengambilan khas guru baharu yang dijalankan oleh KPM pada kali ini adalah satu peluang yang baik bagi anak muda untuk menjadi guru. Dong Zong menyeru para graduan dan bakal graduan universiti semester akhir pengajian daripada jurusan pendidikan dan bukan pendidikan agar mengambil peluang ini untuk mengemukakan permohonan. Para pemohon haruslah membaca dan memahami peraturan dan prosedur permohonan dengan telitinya yang terdapat di laman sesawang SPP (https://www.spp.gov.my/hebahan.html) agar dapat mengelakkan kesilapan dalam permohonan dan terlepas peluang baik untuk menjadi guru. Selain itu, para pemohon harus memberi perhatian terhadap mata pelajaran yang akan diajar oleh guru baharu tersebut dan tempat bertugas mereka.

 

Pengambilan Khas Guru Baharu SJKC Oleh SPP Mengikut Mata Pelajaran Dan Kawasan Bertugas

Bil

Mata Pelajaran

Tempat Bertugas

1.       

Bahasa Cina

Semenanjung

2.       

Bahasa Melayu

Semenanjung, Sabah, Sarawak

3.       

Bahasa Inggeris

Semenanjung, Sabah, Sarawak

4.       

Bimbingan dan Kaunseling

Semenanjung, Sabah, Sarawak

5.       

Matematik

Semenanjung

6.       

Muzik

Semenanjung, Sabah, Sarawak

7.       

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan

Semenanjung, Sabah, Sarawak

8.       

Pendidikan Khas

Semenanjung, Sarawak

9.       

Pendidikan Moral

Semenanjung, Sabah, Sarawak

10.   

Pendidikan Seni/Seni Visual

Semenanjung, Sabah, Sarawak

11.   

Reka Bentuk dan Teknologi

Semenanjung, Sabah, Sarawak

12.   

Sejarah

Semenanjung, Sabah, Sarawak