fbpx

Perlembagaan Menjamin Dan Melindungi Penubuhan SJKC dan SJKT Serta Hak Sekolah Pelbagai Aliran

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

29hb. Oktober, 2019

Perlembagaan Menjamin Dan Melindungi Penubuhan SJKC dan SJKT

Serta Hak Sekolah Pelbagai Aliran

 

Dong Zong dan Jiao Zong mengeluarkan kenyataan bersama seperti di bawah terhadap pendakwaan Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam, atas namanya sendiri, di Mahkamah Persekutuan bahawa penubuhan Sekolah Rendah Jenis Cina (“SRJC”) dan Sekolah Rendah Jenis Tamil (“SRJT”) yang diizinkan oleh Kerajaan Persekutuan menurut Akta Pendidikan 1996 adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan:

 

Dong Jiao Zong menegaskan bahawa negara kita merupakan satu negara majmuk yang berbilang kaum dengan pelbagai budaya, bahasa dan agama, serta terdapat juga sekolah pelbagai aliran yang menggunakan bahasa-bahasa yang  berlainan sebagai medium pengajaran. Sekolah Melayu, Cina dan Tamil telah wujud melebihi 200 tahun di negara tercinta ini dan  merupakan khazanah yang amat berharga dan dikira sebagai satu kelebihan negara kita, dan sekolah pelbagai aliran jelas sudah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

 

Sekolah pelbagai aliran telah lama wujud sebelum kemerdekaan. Pembangunannya adalah dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Negara dan ia telah diterap ke dalam sistem pendidikan serta bidang kuasa undang-undang. Selain daripada Enakmen Pendaftaran Sekolah 1920, Akta Pendidikan 1952, 1957, 1961 dan 1996 telah  membenarkan penubuhan sekolah-sekolah pelbagai aliran. Pemimpin-peminpin kerajaan telah banyak kali mengesahkan sumbangan sekolah-sekolah pelbagai aliran, dan ibu bapa daripada semua kaum berhak untuk memilih mana-mana sekolah untuk anak-anak mereka. Fakta-fakta ini tidak boleh dinafikan mahupun diputarbelitkan. Tiada sesiapa ataupun kumpulan dibenarkan untuk memusnahkan sekolah-sekolah pelbagai aliran, merampas hak rakyat untuk memilih pendidikan pelbagai aliran, dan berniat merosakkan keharmonian masyarakat ini.

 

Maka, untuk kes mahkamah yang dinyatakan di atas, Dong Jiao Zong telah melantik satu pasukan  pakar-pakar peguam untuk menjalankan kajian dan penyelidikan terperinci. Satu taklimat akan diadakan dan laporan hasil penyelidikan tersebut akan dikemukakan pada Persidangan Bersama Persatuan-persatuan Cina yang akan diadakan pada 9hb. November, bertujuan untuk membincangkan tindakan-tindakan susulan.