Peperiksaan Bersepadu Menengah Rendah dan Tinggi diasingkan, setelah pelbagai faktor dipertimbangkan

Peperiksaan Bersepadu Menengah Rendah dan Tinggi diasingkan, setelah pelbagai faktor dipertimbangkan

Kenyataan Dong Jiao Zong
3 Julai 2020

Memandangkan situasi penularan wabak Covid-19 semakin reda dan terkawal, pelajar yang akan menduduki peperiksaan tahun ini telah kembali ke sekolah lebih awal pada 24 Jun, dan persekolahan tingkatan yang lain akan pulih sepenuhnya pada 15 Julai. Kementerian Pendidikan telah membuat penjadualan semula dengan pemindaan tarikh peperiksaan SPM ke 6 Januari 2021 hingga 9 Februari 2021.

Lantaran daripada itu, Jawatankuasa Peperiksaan Bersepadu Sekolah Menengah Persendirian Cina telah mengadakan mesyuarat untuk menetapkan tarikh yang bersesuaian bagi Peperiksaan Bersepadu Menengah Rendah dan Menengah Tinggi. Jawatankuasa ini telah meneliti dengan rapi pelbagai langkah penyelesaian, juga kesan-kesannya, dengan mengambil kira faktor-faktor seperti sejauh manakah sukatan telah dihabiskan, keselamatan calon dan pengawas peperiksaan, operasi sekolah, tempoh pembelajaran pelajar, jaminan kualiti peperiksaan bersepadu dan keperluan lanjutan pelajaran dan sebagainya, di samping meminimumkan kesan tarikh peperiksaan terhadap pembelajaran pada tahun depan. 

Maka Dong Jiao Zong mengumumkan, mesyuarat telah sebulat suara memutuskan:

Pertama, tarikh peperiksaan bersepadu menengah tinggi untuk tahun 2020 dipinda kepada 2 hingga 8 Disember 2020;

Kedua, tarikh peperiksaan bersepadu menengah rendah untuk tahun 2020 dipinda kepada 28 hingga 31 Disember 2020.

Dong Jiao Zong ingin menegaskan bahawa Peperiksaan Bersepadu adalah peperiksaan yang berpiawaian, menekankan kestabilan, kredibiliti dan “comparable”, malah diadakan secara berturut-turut sejak 45 tahun yang lalu. Kredibiliti dan martabat akademiknya akan kami pertahankan dengan sikap yang cermat dan profesional. 

Kenyataan media Dong Jiao Zong berhubung isu tiada lagi pengecualian peperiksaan HSK untuk pemegang UEC sebelum melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di China

Kenyataan media Dong Jiao Zong berhubung isu tiada lagi pengecualian peperiksaan HSK untuk pemegang UEC sebelum melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di China.

14 Mei 2020

Pertama, bahasa Cina adalah bahasa pengantar utama dalam pendidikan bahasa ibunda yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian cina Malaysia, dengan pelajarnya menduduki peperiksaan bersepadu (UEC). Pada tahun 2004, dengan notis daripada Kementerian Pendidikan China, Kedutaan China di Malaysia telah mengecualikan calon UEC daripada mengambil Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK, Chinese Proficiency Test) sebagai syarat untuk melanjutkan pengajian di China. Sejak tahun 2004, hasrat pemegang UEC untuk melanjutkan pengajian di China semakin tinggi, kerana mereka boleh berbuat demikian tanpa perlu mengambil peperiksaan HSK.

Kedua, sejak September tahun lalu, sesetengah pemegang UEC memberi maklum balas bahawa sebahagian kecil institusi pengajian tinggi China meminta agar mereka menduduki peperiksaan HSK. Dong Jiao Zong dengan segera menghubungi institusi pengajian berkenaan, dan pejabat berkenaan di Kedutaan China di Malaysia, menyediakan maklumat yang diperlukan untuk memohon agar masalah diselesaikan. Kedutaan China di Malaysia juga memberi sokongan sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah ini.

Ketiga, baru-baru ini, Dong Jiao Zong menerima khabar daripada pejabat Kebudayaan Kedutaan China di Malaysia, iaitu China telah mengeluarkan dokumen pengesahan bertarikh 13 Mei 2020 bahawa 63 sekolah di Malaysia, iaitu lepasan daripada 60 buah SMPC ditambah dengan dua buah sekolah cawangan, juga Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan yang memiliki UEC – dikecualikan daripada mengambil peperiksaan HSK. Lepasan sekolah-sekolah tersebut boleh menggunakan salinan dokumen itu untuk memohon kemasukan tanpa perlu menduduki peperiksaan HSK. Dokumen tersebut mengesahkan bahawa notis pengecualian HSK bersyarat daripada Kementerian Pendidikan China untuk pelajar asing masih berkuatkuasa. Pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pejabat Kebudayaan, Kedutaan China di Malaysia yang mempermudahkan segala urusan ini. 

Peperiksaan Bersepadu ditangguh ke Disember Bakal diselaraskan mengikut strategi keluar PKPP

Peperiksaan Bersepadu ditangguh ke Disember
Bakal diselaraskan mengikut strategi keluar PKPP

Kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong
27 April 2020


Memandangkan situasi wabak Covid-19 masih membimbangkan, kerajaan telah mengumumkan pembatalan atau penangguhan beberapa peperiksaan awam. Berdepan dengan senario terkini, Jawatankuasa Peperiksaan Bersepadu Sekolah Menengah Persendirian Cina telah mengadakan satu mesyuarat khas, meluluskan usul-usul berikut dengan sebulat suara:-


Pertama, menangguhkan tarikh Peperiksaan Bersepadu menengah tinggi dan menengah rendah sehingga Disember, tahun ini.

Kedua, jadual waktu Peperiksaan Bersepadu menengah tinggi dan menengah rendah akan diumumkan selepas situasi wabak stabil dan pelajar kembali semula ke sekolah.

Dong Jiao Zong menegaskan bahawa Peperiksaan Bersepadu adalah peperiksaan yang memenuhi piawaian. Justeru itu, unsur kestabilan, kredibiliti dan comparability-nya diutamakan. Peperiksaan Bersepadu telah mengharungi sejarah selama 45 tahun, maka kita harus mempertahankan kredibiliti dan reputasi akademiknya dengan cermat dan profesional.  

Susulan daripada pengumuman Perdana Menteri pada malam 23 April untuk melanjutkan PKP sehingga 12 Mei, Dong Jiao Zong akan terus mengikuti perkembangan penularan wabak Covid-19, dan mengkaji jalan penyelesaian untuk disesuaikan dengan mekanisme pelan exit kerajaan, dan panduan terkini daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Dong Jiao Zong akan mengumumkan langkah seterusnya pada masa yang sesuai. 

Menadah yang rebah

Menadah yang rebah

KENYATAAN MEDIA BERSAMA

26 APRIL 2020

 

Menadah yang rebah

 

Kita perlu menadah mereka yang rebah di barisan depan ketika memerangi wabak Covid-19 dengan bertarungkan nyawa mereka.

 

Pemergian arwah Nadila Rahmat, jururawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor bermakna sepasang ibu bapa kehilangan anak sulungnya, empat orang adik-beradik kehilangan kakaknya, dan sebuah keluarga kehilangan tunggak ekonominya. Kami terpanggil untuk mengisi kehilangan ini dengan menjadikan keluarga ini keluarga kita bersama.

 

Pemergian arwah Nadila Rahmat adalah satu kehilangan kepada masyarakat dan negara: Hospital kehilangan seorang jururawat yang mempunyai pengalaman 10 tahun; Pesakit-pesakit kehilangan seorang jururawat yang sentiasa bersedia untuk meringankan kesakitan pada bila-bila masa; Malaysia kehilangan seorang wirawati yang tidak berganjak dari garis depan ketika memerangi wabak Covid-19.

 

Tidak terdaya untuk kita menggantikan seorang insan yang murni ini. Pengorbanannya ditangisi bersama. Kami sekadar melakukan apa yang terdaya, untuk meredakan keperitan dan kesedihan lantaran kehilangan ini, sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan pengorbanan arwah. Jikalau senyuman seorang jururawat mampu meringankan kesakitan pesakitnya, moga-moga derma yang tidak seberapa ini meredakan sedikit kesulitan yang dihadapi keluarga arwah.

 

Kami, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), yang berat hati dengan pemergian arwah Nadila Rahmat, menyerahkan kutipan derma daripada rakan-rakan yang prihatin sejumlah RM 65,000 kepada arwah keluarga Nadila Rahmat. Kami berterima kasih kepada Dr Musa Mohd Nordin daripada Hospital Pakar KPJ Damansara yang menghubungkan kami dengan keluarga arwah. Rakan-rakan lain yang ingin menghulurkan dana bantuan boleh berbuat demikian kepada akaun bank keluarga arwah: Maybank, 151089316135, RODIAH BINTI MOHD DON dan memaklumkan kepada keluarga melalui emel: [email protected] atau whatsapp:+60 13-635 3528.

 

Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)

Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)