2020年11月9日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
9 November 2020
Hentikan penindasan, UM diseru agar berdialog dengan siswa-siswi
Dong Jiao Zong mengecam tindakan pihak polis menangkap bekas Presiden Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (UMANY), Wong Yan Ke di bawah Kanun Keseksaan, atas tuduhan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas ketika penyiasatan kes UMANY. Tindakan polis adalah keterlaluan kerana telah mencabul kebebasan individu tersebut.
Selain itu, Dong Jiao Zong menyeru pihak Universiti Malaya (UM) agar berdialog dengan siswa-siswi untuk mendengar suara yang berbeza, dan bukannya mengambil tindakan untuk menindas, atau mencengkam siswa-siswi berdiam diri.
Ketika pegawai polis menggeladah kediaman Yap Weng Qin, Presiden UMANY pada 7 November, semua individu yang berada di tempat kejadian memberi kerjasama kepada polis yang menjalankan tugas. Insiden mengingkari kuasa polis, atau mencemuh, mahupun menyerang polis tidak berlaku. Tindakan Wong Yan Ke untuk membuat rakaman sepanjang polis menjalankan tugas sebagai bahan keterangan kelak, cuma salah satu kaedah rakyat memantau proses penguatkuasaan, tanpa mengganggu polis daripada menjalankan tugas mereka.
Ia adalah satu tuduhan yang keterlaluan seandainya amalan hak ini ditafsirkan sebagai “menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas”, malah ia telah melewati batas dan menyekat kebebasan rakyat. Jelas, apa yang berlaku memperlihatkan keperluan reformasi pasukan keselamatan. Kerajaan harus membentangkan semula Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (RUU IPCMC).
Dewasa ini, pihak Universiti Malaya diandai tidak segan silu menawarkan diri untuk berkhidmat kepada agenda politik, sehingga mengabaikan profesional pendidikan yang harus dipertahankan. Fenomena ini agak membimbangkan. Institusi pengajian tinggi seharusnya menjadi persada yang menyaksikan penyebaran pemikiran bebas dan pertembungan idea. Mustahil kita menuai hasil pendidikan yang maju dan progresif seandainya terus mengurung diri dalam kepompong lama. UM tidak seharusnya memperlekehkan kebebasan akademik dan kebebasan bersuara. Insititusi pendidikan seharusnya membebaskan diri daripada belenggu politik, dan kembali kepada landasan professional pendidikan.
Siswa-siswi seharusnya digalakkan untuk berprihatin terhadap isu semasa, bersikap kritis terhadap fenomena sosial, dan memainkan peranan sebagai anggota masyarakat sivil. Lebih-lebih lagi, jikalau ditinjau dari perspektif pendidikan, siswa-siswi seharusnya digalakkan untuk berfikir secara kritis dan membina jati diri yang bebas dan merdeka. Sepanjang proses ini, siswa-siswi harus diberi ruang jikalau melakukan kesilapan. Seandainya kita terlalu asyik untuk menghukum, ia bercanggah dengan semangat luhur universiti untuk menerokai kebenaran, meraih kebebasan akademik dan bersuara.
2020年9月18日 | Siaran Akhbar
Siaran Akhbar :Pengumuman Pemenang untuk Pertandingan Menulis Esei Sempena Hari Malaysia – “Menyanjung Kepelbagaian” anjuran Dong Zong
Sebanyak 11 buah karya terbaik telah dipilih dalam Pertandingan Menulis Esei Sempena Hari Malaysia – “Menyanjung Kepelbagaian” anjuran Dong Zong. Selain sijil penghargaan, para pemenang juga akan diberi hadiah wang tunai sebagai tanda penghargaan.
- Malaysia pada asalnya adalah sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Kini, kemajmukan masyarakat tempatan diperkayakan dengan kedatangan komuniti antarabangsa dan pekerja asing. Kecanggihan teknologi dan pengangkutan menjadikan dunia kini tanpa batasan dan interaksi antara kaum telah menjadi hakikat yang tidak dapat dinafikan. Dalam era globalisasi, sikap memahami, menghayati serta menghormati kepelbagaian budaya telah menjadi norma masyarakat yang penting dan ia juga menjadi tujuan utama Dong Zong menganjurkan pertandingan ini, iaitu memupuk semangat saling menghormati dan inklusif antara satu sama lain melalui tulisan esei.
- Pertandingan ini telah diadakan, bermula pada bulan lepas (Ogos 2020) dan menerima sambutan yang baik daripada semua lapisan masyarakat, antaranya termasuk pelajar-pelajar dari sekolah rendah sehingga ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Hal ini menunjukkan rakyat tempatan yang semakin mengambil berat tentang konsep kepelbagaian.
- Setelah melalui proses penilaian yang teliti, sekurang-kurangnya tiga buah karya telah dipilih untuk setiap kategori Bahasa dan pemenangnya akan menerima sijil penyertaan serta hadiah wang tunai. Selain itu, peserta yang berkelayakan juga akan dihadiahi dengan sijil dan kupon belian buku sebagai tanda penghargaan. Antara senarai pemenang adalah seperti berikut:
Kategori Bahasa Melayu: (3 Karya terpilih)
Jane Ho Mei Ying, pelajar, “Semarakkan Hubungan Antara Kaum”
Muhammad Faiz Ikhwan bin Hasbulah, pelajar, “Perkauman membinasakan perpaduan”
Joy Lee Xing Yee, pelajar, “Bertuah, Bersyukur”
Kategori Bahasa Inggeris: (3 Karya terpilih)
Joseph Hamzah Anwar, Student, “Enlightened by Diversity”
Elijah Wong Jing Er, Student, “Malaysia – The Diverse Football Team”
Joycelyn Ong Shee Hui, Education consultant, “Precious Friendship Made in Sarawak”
Kategori Bahasa Mandarin: (5 Karya terpilih)
Tai Yu Jing, Guru, “Peristiwa dalam proses mengajar”
Sim Ming Choo, Guru, “Negeri Sarawak yang indah”
Lee Jia Hui @ Li JiaHuij, Pelajar, “Tahun kelapan”
Chee Jeng Ying, Pelajar, “Menyanjung Kepelbagaian”
Chu Jun Cheng, Pelajar, “Menyanjung Kepelbagaian”
- Hasil karya terpilih menampilkan konsep kepelbagaian yang amat ketara melalui pengalaman kehidupan harian penulis tersebut dan ia amat berharga terutamanya nilai kandungan esei tersebut mencerminkan betapa indah semangat masyarakat kita yang sentiasa menyanjung tinggi terhadap nilai kepelbagaian dalam kehidupan harian.
- Semua hasil karya pemenang akan dipaparkan berturutan sejak masa ini melalui media internet – Malaysiakini (https://www.malaysiakini.com/). Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Dong Zong (https://www.dongzong.my/) atau facebook Projek Kepelbagaian Kaum dan Budaya (PKKB) (https://www.facebook.com/duzhongsci). Sebarang pertanyaan, sila hubungi Bahagian Hal Ehwal Organisasi, Dong Zong (03-87362337, Yap Heng Lung (301), Cheng Guan Hui (299)).
Sekian terima kasih.
Daripada,
Bahagaian Hal Ehwal Organisasi, Dong Zong
2020年8月11日 | Siaran Akhbar
Kenyataan Media Dong Zong
11 Ogos 2020
Pertandingan Menulis Esei Sempena Hari Malaysia Tahun 2020 –
“Menyanjung Kepelbagaian”
Abad ke-21 terutamanya di bawah arus globalisasi telah pun mengubahkan struktur masyarakat pada masa ini, di mana unsur kepelbagaian telah menjadi sebagai arus perdana dalam masyarakat. Sempena menyambut Hari Malaysia, Dong Zong telah menganjurkan pertandingan menulis esei bertemakan “Menyanjung Kepelbagaian” dengan kerjasama bersama media internet-Malaysiakini dan sokongan kewangan daripada Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Negeri Selangor –YB Ng Sze Han
Kami berharap melalui pertandingan ini dapat menggalakkan khalayak ramai untuk berkongsi pengalaman sendiri mengenai keindahan sifat kepelbagaian kaum dan budaya dalam masyarakat melalui tulisan esei yang bergambar untuk kita bersama-sama berdepan dan menghapuskan gejala rasisme dan xenofobia dalam negara pada masa ini.
Masa depan negara kita akan menjadi lebih cerah dengan penerimaan konsep kepelbagaian dalam masyarakat. Dong Zong sebagai sebuah pertubuhan pendidikan berasaskan komuniti selalu mengambil berat terhadap isu hak kesamarataan dalam masyarakat. Maka kami mengadakan pertandingan ini dengan usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat demi mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan kemaslahatan sosial sempena Hari Malaysia.
Objektif pertandingan:
- Menyemai semangat kepelbagaian budaya dan memupuk sifat toleransi serta saling
menghormati dalam masyarakat.
- Memelihara kepelbagaian kaum dan budaya dalam negara.
Tarikh tutup penyertaan pada 8 September 2020 (Selasa). Semua hasil penyertaan hendaklah dihantar sebelum tarikh tutup. Karya yang lewat tidak akan dipertimbangkan .
Untuk maklumat lanjut, sila melayari laman sesawang Dong Zong iaitu (https://www.dongzong.my)atau menghubungi pengawai esekutif Bahagian Hal Ehwal Organisasi, Encik Yap Heng Lung dengan nombor telefon: 03-87362337 (Ext: 301),Cik Cheng Guan Hui (Ext 299) atau e-mel: [email protected].
Sekian terima kasih.

Lampiran: Poster Pertandingan Menulis Esei Sempena Hari Malaysia Tahun 2020 –“Menyanjung Kepelbagaian”

Daripada,
Bahagaian Hal Ehwal Organisasi, Dong Zong
2020年7月22日 | Kenyataan Media
Kenyataan media Dong Zong
Isu pengiktirafan UEC harus dibincangkan secara rasional dan profesional:
Dong Zong seru agar parti politik menunaikan manifesto PRU tahun 2018
22 Julai 2020
Daripada mengambil sikap provokasi dan saling bermusuhan, Dong Zong menyeru agar semua pihak saling mendengar, berkomunikasi dan berdialog secara rasional dan profesional ketika membincangkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Kami juga menggesa agar Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia mengaturkan pertemuan dengan Dong Zong secepat mungkin untuk membincangkan isu ini.
Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu adalah muafakat parti pemerintah dan pembangkang dalam PRU14 pada tahun 2018. Kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Harapan menjanjikan pengiktirafan UEC dalam manifesto pilihan raya mereka. Ia menunjukkan kedua-dua gandingan politik berkongsi hasrat yang sama, iaitu bersedia mengendalikan isu pengiktirafan UEC dari pendekatan profesional pendidikan.
Apa yang dikesali, pergelutan politik sepanjang dua tahun ini menyaksikan bagaimana isu “pengiktirafan UEC” dimomokkan sebagai “mencabar martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi”, lantas menjurus kepada pertentangan yang semakin ketara antara kaum, dan menghancurkan muafakat pemerintah-pembangkang, juga kepercayaan sesama kaum yang dibina sekitar tahun 2018.
Hakikatnya, perkembangan beberapa tahun kebelakangan menyaksikan bagaimana kerajaan semakin terbuka untuk menerima UEC sebagai syarat kelayakan kemasukan institusi pengajian tinggi dalam negara, termasuk institusi tinggi swasta, universiti negeri dan universiti GLC. Lebih awal lagi, pada tahun 2012, kerajaan telah membenarkan lulusan UEC untuk memohon PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan) tawaran Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, lantas dijadikan penjawat awam KPM secara rasmi selepas tamat pengajian.
Selain daripada itu, terdapat tujuh kerajaan negeri, dari blok gandingan politik yang berbeza, termasuk Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah telah mengiktiraf secara rasmi UEC buat masa kini. Jelas, tidak kurang pemimpin politik dari pemerintah dan pembangkang sudi keluar dari kepompong perkauman, dan mempertimbangkan isu pengiktirafan UEC dari sudut pragmatik, toleransi, profesional dan rasional.
Dong Zong sedar bahawa terdapat salah faham dalam kalangan komuniti bukan Cina yang menganggap sukatan pelajaran UEC adalah produk China-Taiwan-Hong Kong. Hakikatnya, proses merangka sukatan pelajaran UEC adalah berasaskan piawaian yang digariskan KKM, mencerminkan perspektif tanahair di bawah dasar pendidikan negara.
Pada masa yang sama, Dong Zong menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, menerima “gred kepujian bahasa Melayu dalam SPM” sebagai syarat pengiktirafan UEC. Malah, SMPC di seluruh Malaysia menetapkan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang wajib dipelajari. Dengan ini, kami berharap rakyat Malaysia berlapang dada untuk mempertimbangkan isu pengiktirafan UEC oleh kerajaan dari perspektif yang lebih makro dan menyeluruh, mengambil sudut profesional pendidikan, daya saing negara, pemupukan bakat dan sebagainya.
Akhir kata, kami menyeru agar kerajaan Perikatan Nasional mengadakan semula perbincangan berhubung isu pengiktirafan UEC berdasarkan persetujuan yang direstui kedua-dua pemerintah dan pembangkang pada tahun 2018, selaras dengan dakwaan “kerajaan untuk semua” yang disebut PM Muhyiddin Yassin. Kami juga menggesa agar KPM menerima laporan Jawatankuasa Khas Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC), yang diketuai Eddin Khoo, dan mengumumkan laporan tersebut. Dengan itu, masyarakat akan mendalami perbincangan tentang pengiktirafan UEC, lantas membantu untuk pembentukan muafakat masyarakat dalam isu berkenaan.
2020年7月3日 | Kenyataan Media
Peperiksaan Bersepadu Menengah Rendah dan Tinggi diasingkan, setelah pelbagai faktor dipertimbangkan
Kenyataan Dong Jiao Zong
3 Julai 2020
Memandangkan situasi penularan wabak Covid-19 semakin reda dan terkawal, pelajar yang akan menduduki peperiksaan tahun ini telah kembali ke sekolah lebih awal pada 24 Jun, dan persekolahan tingkatan yang lain akan pulih sepenuhnya pada 15 Julai. Kementerian Pendidikan telah membuat penjadualan semula dengan pemindaan tarikh peperiksaan SPM ke 6 Januari 2021 hingga 9 Februari 2021.
Lantaran daripada itu, Jawatankuasa Peperiksaan Bersepadu Sekolah Menengah Persendirian Cina telah mengadakan mesyuarat untuk menetapkan tarikh yang bersesuaian bagi Peperiksaan Bersepadu Menengah Rendah dan Menengah Tinggi. Jawatankuasa ini telah meneliti dengan rapi pelbagai langkah penyelesaian, juga kesan-kesannya, dengan mengambil kira faktor-faktor seperti sejauh manakah sukatan telah dihabiskan, keselamatan calon dan pengawas peperiksaan, operasi sekolah, tempoh pembelajaran pelajar, jaminan kualiti peperiksaan bersepadu dan keperluan lanjutan pelajaran dan sebagainya, di samping meminimumkan kesan tarikh peperiksaan terhadap pembelajaran pada tahun depan.
Maka Dong Jiao Zong mengumumkan, mesyuarat telah sebulat suara memutuskan:
Pertama, tarikh peperiksaan bersepadu menengah tinggi untuk tahun 2020 dipinda kepada 2 hingga 8 Disember 2020;
Kedua, tarikh peperiksaan bersepadu menengah rendah untuk tahun 2020 dipinda kepada 28 hingga 31 Disember 2020.
Dong Jiao Zong ingin menegaskan bahawa Peperiksaan Bersepadu adalah peperiksaan yang berpiawaian, menekankan kestabilan, kredibiliti dan “comparable”, malah diadakan secara berturut-turut sejak 45 tahun yang lalu. Kredibiliti dan martabat akademiknya akan kami pertahankan dengan sikap yang cermat dan profesional.