Pendirian Dong Zong Konsisten: Menginstitusikan Pembinaan Sekolah Pelbagai Aliran

Kenyataan Media Dong Zong
Pendirian Dong Zong Konsisten: Menginstitusikan Pembinaan Sekolah Pelbagai Aliran

2 Julai 2018

Menurut Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, beliau bersama Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah mengadakan taklimat pada 10 Oktober 2017, untuk menerangkan kepada Pengerusi Dong Zong dan Jiao Zong tentang kedudukan geografi dan kewajaran di sebalik pembinaan dan perpindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang bakal dilaksanakan. Menurut Wee, Dong Zong tidak membantah lokasi yang terpilih ketika itu, namun Dong Zong mempertikaikannya pula dalam satu kenyataan media pada 29 Jun. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:

  1. Dalam isu pembinaan SJKC, Dong Zong menegaskan bahawa kami berpegang kepada prinsip dan pendirian menginstitusikan pembinaan SJKC. Ketika berdepan sama ada dengan mantan kerajaan Barisan Nasional mahupun kerajaan Pakatan Harapan, kami tetap berpegang kepada pendirian yang sama, iaitu pembinaan SJKC haruslah mengikut formula pembinaan sekolah rendah kebangsaan – pembinaan sekolah pelbagai aliran termasuk SJKC haruslah untuk menampung keperluannya. Tanah dan kosnya pula harus ditanggung kerajaan sepenuhnya.
  1. Ketika bertemu dengan Presiden MCA Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong pada 10 Oktober 2017, pimpinan Dong Zong telah menyerah satu memorandum berkaitan dengan pendidikan bahasa cina, menyentuh isu-isu yang terdesak untuk diselesaikan, termasuk menggesa agar kerajaan meluluskan permohonan Dong Zong untuk membina sebuah sekolah menengah persendirian cina (affiliated school); menginstitusikan pembinaan sekolah jenis kebangsaan cina, peruntukan yang adil kepada sekolah jenis kebangsaan cina, mengiktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC) dan menginstitusikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian cina. 

Pada 12 November 2017, ketika berucap dalam jamuan malam anjuran Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Pulau Pinang, pengerusi Dong Zong telah menyatakan pandangan dalam isu pemilihan lokasi pembinaan dan perpindahan “10 (bina) + 6 (pindah)”sekolah (Projek 10+6). Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat Dong Zong yang diadakan pada 18 November 2017, “projek 10+6” juga dibincangkan, dan diputuskan agar dikenalpasti oleh Persatuan Lembaga Pengurus negeri masing-masing berkenaan lokasi dan bilangan sekolah yang tepat dan perlu untuk dibina. Dalam satu temubual media pada 21 Januari 2018, pengerusi Dong Zong berkata, kesemua 16 buah sekolah yang diluluskan pembinaan dan perpindahan kebanyakannya terletak di kawasan yang baru dimulakan pembangunannya beberapa tahun kebelakangan. Sebaliknya, menurut siasatan Dong Zong, kawasan yang memerlukan pembinaan SJKC tidak berada dalam senarai projek 10+6 yang diumumkan.  

Daripada maklumat di atas, tuduhan Datuk Seri Wee Ka Siong bahawa “Dong Zong tidak membantah lokasi pembinaan dan perpindahan sekolah sebermulanya” adalah tidak berasas. Kami memohon agar Wee Ka Siong lebih berhati-hati dan menyemak fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.

  1. Selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, setiausaha jawatankuasa pembinaan 5 SJKC dan perpindahan 2 SJKC di Johor, Datuk Tan Cher Puk berkata, wakil rakyat Pakatan Harapan harus meluluskan peruntukan secepat mungkin, terutamanya RM20 juta yang diperlukan di peringkat awal, untuk memastikan proses pembinaan dan perpindahan SJKC disempurnakan dengan lancar. Kenyataan ini mengundang kekeliruan, apakah upacara pecah tanah sebelum hari pengundian PRU14 diadakan tanpa peruntukan kerajaan? Sejak pengumuman projek 10+6 pada 26 Oktober 2017, sehinggalah parlimen dibubarkan pada 7 April 2018, adakah kerajaan ketika itu meluluskan secara rasmi peruntukan yang diperlukan untuk pembinaan dan perpindahan SJKC? Mengapa kerajaan pada ketika itu tidak memperuntukkan tanah sekolah untuk projek 10+6 ini, sebaliknya menuntut agak pemaju perumahan menderma tanah untuk pembinaan sekolah? 

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula 8 buah SJKC daripada projek “10+6” ini. Tujuan dan hasrat Dong Zong adalah menggesa agar penilaian semula KPM bukan sahaja menjernihkan kekeliruan di atas, malah memohon agar kerajaan memilih lokasi pembinaan sekolah di kawasan yang padat penduduknya, dan juga terdesak keperluannya untuk membina SJKC. 

  1. Dong Zong menyeru agar parti pemerintah dan parti pembangkang mengetepikan perselisihan antara satu sama lain, untuk menyelesaikan masalah ini atas prinsip menghormati pendidikan bahasa ibunda dan memenuhi keperluan pendidikan masyarakat. Sejajar dengan pertukaran kerajaan baru, kami menaruh harapan agar kerajaan baru memperlihatkan tekad untuk melaksanakan pembaharuan, dan menunjukkan keikhlasan dengan melayan sekolah pelbagai aliran secara adil. Mentaliti kerajaan lama untuk menjadikan sistem pendidikan kepada satu aliran sahaja harus dikikis. Kami mencadangkan agar kerajaan mengambil sikap yang lebih telus dan terbuka, menubuhkan satu jawatankuasa yang merangkumi parti pemerintah dan pembangkang, pertubuhan pendidikan berkenaan dan ahli akademik untuk meneliti dasar pembinaan dan perpindahan SJKC dan SJKT dari sudut keperluan pendidikan dan profesional pendidikan, agar masalah ini diselesaikan secara tuntas.

SJKC harus dibina mengikut keperluan Kerajaan harus tanggung semua kosnya

Kenyataan Media Dong Zong
29 Jun 2018
SJKC harus dibina mengikut keperluan
Kerajaan harus tanggung semua kosnya

 

Menurut pengumuman Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik, daripada 16 buah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang diluluskan pembinaan dan perpindahan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelumnya, enam buah sekolah yang berada di dalam senarai perpindahan sudah dimulakan pembinaannya; dua buah sekolah dalam senarai pembinaan yang telah dimulakan pembinaan akan diteruskan. Lapan buah sekolah selebihnya yang berada dalam senarai pembinaan, akan dikaji semula berdasarkan keperluan, keadaan fiskal, faktor ketelusan dan sebagainya. Berhubung perkara ini, kenyataan media Dong Zong adalah seperti berikut:- 

  1. Sesungguhnya, 16 buah sekolah dalam senarai pembinaan dan perpindahan yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional sebelumnya, amat sukar difahami prinsip dan ukuran penentuan lokasinya. Sesetengah kawasan yang penuh sesak dengan pelajar, didesak bertahun-tahun agar dibina sekolah di situ, tidak berada dalam senarai. Sebaliknya, sesetengah lokasi yang dipilih, berada dalam kawasan yang bakal dibangunkan kemudiannya. Keadaan sedemikian bercanggah dengan prinsip untuk meredakan masalah keterdesakan keperluan. Beberapa lokasi yang diluluskan mantan kerajaan BN dipertikaikan, misalnya kawasan perumahan baru yang jarang penduduknya (misalnya SJKC Lee Loy Seng di Ijok), kawasan yang mempunyai beberapa buah SJKC berdekatan dengan populasi pelajar antara 400 hingga 600 (misalnya Kota Seriemas di Negeri Sembilan). Tidak ditolak kemungkinan lokasi tersebut dipilih atas pertimbangan politik untuk meraih undi.

2.Kami menggesa agar kerajaan boleh menunaikan manifesto pilihan raya umum, iaitu melaksanakan dasar yang adil kepada semua aliran sekolah, sementara menilai semula projek pembinaan dan perpindahan SJKC berkenaan.

  1. Kami menegaskan bahawa kerajaan seharusnya bertindak adil ketika mengendalikan isu pembinaan dan perpindahan sekolah pelbagai aliran pendidikan; dan menggubal dasar berkenaan secara saksama mengikut keperluan pendidikan.

Kami memohon agar kerajaan menginstitusikan pembinaan sekolah pelbagai aliran, merujuk kepada formula pembinaan sekolah kebangsaan, dengan kos pembinaan dan tanah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Selain itu, kerajaan seharusnya menyatakan dengan jelas pengagihan tanah simpanan untuk sekolah kepada semua aliran pendidikan, malah memformulakan ukuran penambahbinaan sekolah mengikut prinsip perancangan komuniti, struktur populasi dan keperluan. Kerajaan harus memberi arahan kepada kementerian berkenaan mengikut panduan yang dirangka Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, agar sekolah pelbagai aliran boleh dibina secara berkesan. (tamat)

Kelas Komputer Percuma Untuk SJKC

Kenyataan Media Dong Zong

8 Jun 2018
Kelas Komputer Percuma Untuk SJKC

Dalam satu surat rasmi daripada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 17 April 2018, sekolah tidak dibenarkan untuk melaksanakan kelas komputer pada waktu persekolahan. Walau bagaimanapun, kelas komputer boleh dilaksanakan di luar waktu persekolahan. Yang berikut adalah kenyataan Dong Zong berhubung isu ini:

  1. Dalam surat rasmi KPM tersebut, pelaksanaan kelas komputer dengan kutipan yuran adalah bercanggahan dengan ketetapan dan panduan surat pekeliling. Kami ingin menegaskan bahawa kami menyokong larangan KPM untuk melaksanakan kelas komputer dengan kutipan yuran pada waktu persekolahan. Pendidikan sekolah rendah di negara kita adalah pendidikan wajib yang percuma.  
  1. Kami menegaskan bahawa sekolah jenis kebangsaan cina adalah juga sebahagian daripada pendidikan percuma yang ditawarkan negara. Kesemua kurikulum dalam waktu persekolahan adalah percuma. KPM harus bertanggungjawab untuk menawarkan tenaga guru dan kurikulum bagi waktu persekolahan, dan bukan dikendalikan syarikat swasta. Kesemua kurikulum sepanjang waktu persekolahan wajib diikuti semua pelajar, dan tiada mana-mana pihak yang boleh memaksa pelajar untuk membayar yuran bagi pembelajaran yang tidak dijadualkan dalam kurikulum. Melaksanakan kelas komputer dalam waktu persekolahan, dan mengaturkan pelajar yang tidak membayar yuran untuk mengulangkaji di kelas mahupun perpustakaan, bukan sahaja tidak mematuhi penetapan kurikulum, malah tidak adil untuk pelajar berkenaan. Seandainya kelas komputer mahu dilaksanakan, maka ia haruslah dijadualkan di luar waktu persekolahan, dan menjadi sesi yang boleh dipilih secara bebas oleh pelajar, sama ada untuk mengikutinya atau tidak.
  1. Dong Zong menganggap pendidikan komputer di sekolah adalah tanggungjawab kerajaan. Kami menggesa agar KPM merancang semula pendidikan komputer, membuka kelas komputer untuk SJKC secara percuma, dengan bahasa cina sebagai pengantar, dilengkapi dengan kurikulum yang formal dan sesuai, tenaga pengajar, kemudahan dan pemeliharaan.  
  1. KPM harus memperbetulkan amalan yang tidak adil terhadap SJKC sebelum ini, malah memacu pembangunan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), dan mengaplikasikan informasi dan teknologi komunikasi (ICT) dalam pengajaran, pembelajaran dan sistem pentadbiran sekolah. Sukatan kurikulum berkenaan harus diperbaiki, agar pembelajaran lebih berkesan. Malah, peranti ICT seperti komputer harus dibekalkan kepada SJKC secara mencukupi, disusuli dengan kelas komputer, tenaga pengajar, bahan pengajaran, sistem pentadbiran sekolah yang dikomputerisasikan, bantuan teknikal dan sebagainya.
  1. Kami menyeru agar Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menggunakan kuasanya untuk menangguhkan perintah bertarikh 17 April, yang dikeluarkan melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Atas kepentingan pelajar dan suara ibu bapa, penangguhan ini membolehkan pihak sekolah diberikan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan masalah kelas komputer berbayar dengan sebaiknya. 

Jangan alih tumpuan, Dong Zong seru kerajaan mulakan prosedur pengiktirafan UEC

Kenyataan Media Dong Zong
28 Mac 2018
Jangan alih tumpuan, Dong Zong seru kerajaan mulakan prosedur pengiktirafan UEC

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Datuk Seri Najib telah mencadangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sejak tahun 2013 lagi, namun tidak berjaya kerana tidak diterima pimpinan Dong Zong ketika itu. Berhubung perkara ini, kenyataan Dong Zong adalah seperti berikut:-

1. Sejak beberapa tahun kebelakangan, berkali-kali Dong Zong menegaskan bahawa kami menerima gred kepujian bahasa Melayu dalam SPM sebagai syarat kerajaan menerima UEC untuk kelayakan memasuki universiti awam. Jikalau itulah yang dikehendaki, maka kami telah memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan untuk mengiktiraf UEC. Kami menyeru agar kerajaan menunjukkan keikhlasannya, dengan segera memulakan prosedur penerimaan UEC sebagai syarat kemasukan universiti awam.

2. Kami menyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan isu pengiktirafan UEC, atau mengalihkan tumpuan dengan hujah yang mengelirukan. Kami bertanggapan bahawa seandainya kerajaan ikhlas untuk menyelesaikan isu pengiktirafan UEC, mereka boleh memulakan prosedurnya dengan segera, dan tidak perlu menabur janji dalam manifesto agar isu diselesaikan kerajaan penggal seterusnya.

3. Untuk sekian lama, Dong Zong menyeru agar pihak yang berkenaan dalam kerajaan berjumpa dengan kami untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC. Sekali lagi kami menggesa agar kerajaan berjumpa dengan perwakilan Dong Zong, agar isu ini diselesaikan dengan baik.

Dong Zong Sokong SJKC Tai Thung Pertahankan Keselamatan Pelajar

Kenyataan Media Dong Zong
16 Januari 2018
Dong Zong Sokong SJKC Tai Thung
Pertahankan Keselamatan Pelajar

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) telah meluluskan sebidang tanah seluas 2.607 ekar untuk kegunaan SJKC Tai Thung pada tahun 2015, sebagai gelanggang sukan dan lapangan parkir. Pada April 2017, JPWPKL mengutus surat kepada sekolah untuk menarik balik tanah tersebut, agar diberi laluan kepada pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan. Baru-baru ini, JPWPKL mengutus surat agar SJKC Tai Thung mengosongkan tanah tersebut. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:

1.Ruang halaman asal SJKC Tai Thung sememangnya terlalu sempit untuk menampung keperluan sekolah. Lantas SJKC Tai Thung memohon tanah bersebelahan yang berkeluasan 2.607 ekar itu daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Setelah diluluskan kegunaannya, pihak SJKC Tai Thung telah berjaya mengutip derma sebanyak RM700 ribu untuk pembinaan gelanggang sukan dan lapangan parkir. Ia menyediakan ruang pembelajaran yang lebih baik, memperbaiki keadaan pengangkutan di pintu keluar masuk sekolah untuk menjamin keselamatan pelajar, ibu bapa dan guru. 

Hakikatnya, menurut garis panduan perancangan sekolah yang ditetapkan kerajaan, piawaian keluasan sesebuah sekolah rendah adalah antara 5 hingga 10 ekar. Oleh itu, keluasan asal 3.448 ekar SJKC Tai Thung, ditambah dengan tanah seluas 2.607 ekar ini, memenuhi piawaian yang ditetapkan kerajaan untuk persekitaran pembelajaran yang lebih baik. 

  1. Jikalau dilihat dari segi geografi komuniti dan keadaan pembangunannya sekarang, tempat letaknya SJKC Tai Thung ini agak sesak ruangnya. Malah tanah 2.607 ekar tersebut pun tidak sesuai digunakan untuk membina sebuah sekolah menengah kebangsaan. Kami menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agar memandang berat permintaan SJKC Tai Thung, membatalkan keputusan untuk menarik balik tanah tersebut. Tanah lain yang sesuai harus dicari untuk membina sekolah menengah kebangsaan yang dirancang. Tanah seluas 2.607 ekar ini wajar diteruskan untuk kegunaan pendidikan SJKC Tai Thung.  
  2. Dong Zong menyokong petisyen untuk mempertahankan halaman sekolah yang lengkap dan keselamatan di pintu sekolah SJKC Tai Thung. Kami menyeru agar rakyat menyahut seruan untuk tandatangan petisyen tersebut. 

Kenyataan Media Dong Zong Pemegang UEC layak mengambil peperiksaan CLP Dong Zong berpuas hati dengan keputusan LPQB

Kenyataan Media Dong Zong
Pemegang UEC layak mengambil peperiksaan CLP
Dong Zong berpuas hati dengan keputusan LPQB
20 Disember 2017

 

Dong Zong dimaklumkan dari beberapa saluran maklumat bahawa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) akan terus memberi lampu hijau kepada pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (Certificate in Legal Practice, CLP). Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:

 

  1. Dong Zong telah mengutus surat kepada Majlis Peguam Malaysia dan LPQB, masing-masing pada 23 dan 30 November tahun ini, memohon agar pihak berkenaan menjelaskan mengapa kelayakan menduduki peperiksaan CLP dengan UEC dan SPM dibatalkan. Pimpinan Dong Zong telah bertemu dengan Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese pada 8 Disember, malah menyerahkan maklumat berhubung pemegang UEC yang menduduki peperiksaan CLP, untuk memberi gambaran realiti kepada beliau.

Memandangkan ramai lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) telah menduduki peperiksaan CLP, dengan kelayakan UEC, SPM dan LLB (Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang), malah telah berjaya menjadi peguam yang bertauliah, Dong Zong berharap Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese dapat memanjangkan permintaan kami kepada LPQB, agar mereka menarik balik keputusan mereka, lantas menerima semula UEC sebagai kelayakan untuk menduduki peperiksaan CLP.

  1. Menurut George Varughese selaku Presiden Majlis Peguam Malaysia, sebelum 23 September 2005, pelajar UEC yang menduduki peperiksaan CLP wajib memiliki kelayakan SPM atau STPM, dan LLB. Untuk menyeragamkan kelayakan menduduki peperiksaan CLP, LPQB telah membuat penyelarasan, iaitu dengan syarat, pemegang UEC, ditambah dengan dua kepujian dalam STPM/A-Level; atau, pemegang SPM, ditambah dengan dua kepujian dalam STPM/A-level.

    Selaku Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese juga adalah anggota LPQB. Dalam sesi interaksi pada 8 Disember, beliau berjanji kepada Dong Zong bahawa beliau akan menyampaikan pandangan untuk menangguhkan keputusan pembatalan kelayakan UEC menduduki peperiksaan CLP (pada tahun 2005) dalam mesyuarat LPQB pada 19 Disember.
  2. Pada masa yang sama, Dong Zong telah mengutus surat kepada semua pengetua SMPC pada 22 November, memohon bantuan untuk mengumpul dan menyerahkan maklumat tentang lepasan SMPC yang mengambil kursus dalam jurusan undang-undang. Selain itu, Dong Zong telah mengadakan sesi interaksi, melibatkan peguam, ibu bapa dan penuntut yang terkesan agar maklumat yang berkenaan dikumpul untuk dibawa runding dengan pihak berkenaan. Di samping itu, Dong Zong telah menyerah memorandum kepada LPQB pada 18 Disember, sambil melampirkan maklumat tentang standard UEC, memohon agar LPQB membatalkan keputusan tersebut.

Sehingga kini, maklumat yang dikumpul Dong Zong menunjukkan sejumlah 33 pemegang UEC telah berjaya menduduki peperiksaan CLP, dan 16 orang daripadanya adalah peguam bertauliah. Sekurang-kurangnya 143 orang lepasan SMPC sedang mengambil kursus dalam jurusan undang-undang, atau bersedia untuk mengambil peperiksaan CLP.

Dong Zong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada George Varughese selaku Presiden Majlis Peguam Malaysia, kerana membantu untuk memanjangkan pandangan Dong Zong dalam mesyuarat LPQB pada 19 Disember. Kami juga berterima kasih kepada SMPC, peguam, penuntut jurusan undang-undang, alumni, ibu bapa dan mereka yang memberi maklumat, pandangan dan bantuan kepada Dong Zong sepanjang proses ini. Kami akan terus berhubung dengan LPQB dan Majlis Peguam Malaysia untuk mengikuti perkembangan isu ini.