2020年5月14日 | Kenyataan Media
Kenyataan media Dong Jiao Zong berhubung isu tiada lagi pengecualian peperiksaan HSK untuk pemegang UEC sebelum melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di China.
14 Mei 2020
Pertama, bahasa Cina adalah bahasa pengantar utama dalam pendidikan bahasa ibunda yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian cina Malaysia, dengan pelajarnya menduduki peperiksaan bersepadu (UEC). Pada tahun 2004, dengan notis daripada Kementerian Pendidikan China, Kedutaan China di Malaysia telah mengecualikan calon UEC daripada mengambil Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK, Chinese Proficiency Test) sebagai syarat untuk melanjutkan pengajian di China. Sejak tahun 2004, hasrat pemegang UEC untuk melanjutkan pengajian di China semakin tinggi, kerana mereka boleh berbuat demikian tanpa perlu mengambil peperiksaan HSK.
Kedua, sejak September tahun lalu, sesetengah pemegang UEC memberi maklum balas bahawa sebahagian kecil institusi pengajian tinggi China meminta agar mereka menduduki peperiksaan HSK. Dong Jiao Zong dengan segera menghubungi institusi pengajian berkenaan, dan pejabat berkenaan di Kedutaan China di Malaysia, menyediakan maklumat yang diperlukan untuk memohon agar masalah diselesaikan. Kedutaan China di Malaysia juga memberi sokongan sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah ini.
Ketiga, baru-baru ini, Dong Jiao Zong menerima khabar daripada pejabat Kebudayaan Kedutaan China di Malaysia, iaitu China telah mengeluarkan dokumen pengesahan bertarikh 13 Mei 2020 bahawa 63 sekolah di Malaysia, iaitu lepasan daripada 60 buah SMPC ditambah dengan dua buah sekolah cawangan, juga Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan yang memiliki UEC – dikecualikan daripada mengambil peperiksaan HSK. Lepasan sekolah-sekolah tersebut boleh menggunakan salinan dokumen itu untuk memohon kemasukan tanpa perlu menduduki peperiksaan HSK. Dokumen tersebut mengesahkan bahawa notis pengecualian HSK bersyarat daripada Kementerian Pendidikan China untuk pelajar asing masih berkuatkuasa. Pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pejabat Kebudayaan, Kedutaan China di Malaysia yang mempermudahkan segala urusan ini.
2020年4月27日 | Kenyataan Media
Peperiksaan Bersepadu ditangguh ke Disember
Bakal diselaraskan mengikut strategi keluar PKPP
Kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong
27 April 2020
Memandangkan situasi wabak Covid-19 masih membimbangkan, kerajaan telah mengumumkan pembatalan atau penangguhan beberapa peperiksaan awam. Berdepan dengan senario terkini, Jawatankuasa Peperiksaan Bersepadu Sekolah Menengah Persendirian Cina telah mengadakan satu mesyuarat khas, meluluskan usul-usul berikut dengan sebulat suara:-
Pertama, menangguhkan tarikh Peperiksaan Bersepadu menengah tinggi dan menengah rendah sehingga Disember, tahun ini.
Kedua, jadual waktu Peperiksaan Bersepadu menengah tinggi dan menengah rendah akan diumumkan selepas situasi wabak stabil dan pelajar kembali semula ke sekolah.
Dong Jiao Zong menegaskan bahawa Peperiksaan Bersepadu adalah peperiksaan yang memenuhi piawaian. Justeru itu, unsur kestabilan, kredibiliti dan comparability-nya diutamakan. Peperiksaan Bersepadu telah mengharungi sejarah selama 45 tahun, maka kita harus mempertahankan kredibiliti dan reputasi akademiknya dengan cermat dan profesional.
Susulan daripada pengumuman Perdana Menteri pada malam 23 April untuk melanjutkan PKP sehingga 12 Mei, Dong Jiao Zong akan terus mengikuti perkembangan penularan wabak Covid-19, dan mengkaji jalan penyelesaian untuk disesuaikan dengan mekanisme pelan exit kerajaan, dan panduan terkini daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Dong Jiao Zong akan mengumumkan langkah seterusnya pada masa yang sesuai.
2020年4月26日 | Kenyataan Media
KENYATAAN MEDIA BERSAMA
26 APRIL 2020
Menadah yang rebah
Kita perlu menadah mereka yang rebah di barisan depan ketika memerangi wabak Covid-19 dengan bertarungkan nyawa mereka.
Pemergian arwah Nadila Rahmat, jururawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor bermakna sepasang ibu bapa kehilangan anak sulungnya, empat orang adik-beradik kehilangan kakaknya, dan sebuah keluarga kehilangan tunggak ekonominya. Kami terpanggil untuk mengisi kehilangan ini dengan menjadikan keluarga ini keluarga kita bersama.
Pemergian arwah Nadila Rahmat adalah satu kehilangan kepada masyarakat dan negara: Hospital kehilangan seorang jururawat yang mempunyai pengalaman 10 tahun; Pesakit-pesakit kehilangan seorang jururawat yang sentiasa bersedia untuk meringankan kesakitan pada bila-bila masa; Malaysia kehilangan seorang wirawati yang tidak berganjak dari garis depan ketika memerangi wabak Covid-19.
Tidak terdaya untuk kita menggantikan seorang insan yang murni ini. Pengorbanannya ditangisi bersama. Kami sekadar melakukan apa yang terdaya, untuk meredakan keperitan dan kesedihan lantaran kehilangan ini, sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan pengorbanan arwah. Jikalau senyuman seorang jururawat mampu meringankan kesakitan pesakitnya, moga-moga derma yang tidak seberapa ini meredakan sedikit kesulitan yang dihadapi keluarga arwah.
Kami, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), yang berat hati dengan pemergian arwah Nadila Rahmat, menyerahkan kutipan derma daripada rakan-rakan yang prihatin sejumlah RM 65,000 kepada arwah keluarga Nadila Rahmat. Kami berterima kasih kepada Dr Musa Mohd Nordin daripada Hospital Pakar KPJ Damansara yang menghubungkan kami dengan keluarga arwah. Rakan-rakan lain yang ingin menghulurkan dana bantuan boleh berbuat demikian kepada akaun bank keluarga arwah: Maybank, 151089316135, RODIAH BINTI MOHD DON dan memaklumkan kepada keluarga melalui emel: [email protected] atau whatsapp:+60 13-635 3528.
Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)
2020年3月18日 | Kenyataan Media
Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan terbuka untuk permohonan
Dong Jiao Zong menyeru agar lepasan SMPC mendaftarkan diri
18 March 2020
1.Pengambilan calon UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) oleh Kementerian Pendidikan akan dibuka untuk permohonan pada 23 hingga 31 Mac 2020. Ambilan khas PISMP-UEC oleh KPM ini terbuka kepada pelajar SMPC yang memiliki kelayakan lulusan SPM dan UEC.
Justeru itu, lepasan SMPC yang berminat menjadi guru sekolah rendah cina boleh memperolehi maklumat terperinci daripada laman web rasmi Institut Pendidikan Guru Malaysia (http://ipgm.moe.edu.my/), dan memohon secara langsung daripada laman web rasmi PISMP (https://pismp.moe.gov.my) pada 23 Mac. Mereka tidak perlu membeli nombor pin daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) dan mengisi borang di Unit Pengambilan Universiti (UPU). Menurut syarat permohonan yang digariskan KPM, umur calon lulusan UEC tidak boleh melebihi 20 tahun (pada 30 Jun 2020), dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian Bahasa Melayu serta lulus Bahasa Inggeris dan Sejarah; dan memiliki sekurang-kurangnya tiga kepujian di peringkat Sijil Senior Middle Level(UEC-SML).
2. Sejak PISMP dibuka untuk permohonan pada Februari, Dong Jiao Zong terus memberi perhatian sama ada ia terbuka kepada lulusan UEC, untuk memastikan program ini tidak dihentikan lantaran pergolakan politik tanahair. Justeru itu, setelah kabinet dibentuk dan disandang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan II oleh Dato’ Dr.Mah Hang Soon, Jiao Zong dengan segera memaklumkan kepada beliau bahawa PISMP-UEC belum dibuka untuk permohonan, dan memohon agar Timbalan Menteri Pendidikan II memberi perhatian dan mengendalikan isu ini sebaik-baiknya.
Dong Jiao Zong berasa lega setelah KPM memaklumkan bahawa pengambilan calon UEC untuk PISMP akan dibuka pada minggu depan. Dong Jiao Zong menyeru agar lepasan SMPC yang berkelayakan merebut peluang ini untuk memohon, kerana ia juga peluang untuk mencurahkan sumbangan kepada pembangunan pendidikan bahasa Cina. Menurut sistem sedia ada, guru yang merupakan graduan universiti menikmati gaji asas kira-kira RM2,300, ditambah dengan elaun penjawat awam, gaji bulanan boleh mencecah RM3,000. Pada masa yang sama, seseorang guru juga menikmati pelbagai kebajikan sebagai penjawat awam.
3.Sejak pengambilan PISMP-UEC pada tahun 2011, kira-kira 20 kekosongan (Kategori bahasa Cina sekolah rendah Cina) ditawarkan setiap tahun. Namun, disebabkan pelbagai faktor, 20 kekosongan ini gagal diisi penuh. Justeru itu, Dong Jiao Zong menyeru SMPC seluruh negara, Persatuan Lembaga Pengurus dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina menyebarkan informasi ini, agar lebih ramai lepasan SMPC mengajar di sekolah rendah Cina.
Dong Jiao Zong memberi perhatian sepenuhnya terhadap isu permohonan PISMP oleh lepasan SMPC. Sesiapa yang berdepan dengan kesulitan sepanjang proses permohonan, sila hubungi Jiao Zong (alamat emel: [email protected] atau WhatsApp kepada 011-5852 4692). Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong menyeru agar lepasan SMPC yang memohon untuk PISMP menyerahkan salinan maklumat permohonannya kepada Jiao Zong, agar pihak kami mampu mengikuti perkembangan berikutnya.
2020年3月11日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Jiao Zong berhubung hala tuju pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional:
11 Mar 2020
- Dalam pergolakan politik baru-baru ini, Perikatan Nasional telah mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan. Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa dirinya Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, dan mengumumkan senarai menteri kabinet beliau. Hala tuju pentadbiran kerajaan baru pada masa akan datang menjadi tumpuan semua pihak.
- Dong Jiao Zong menggesa menteri kanan, Dr.Mohd Radzi bin Md Jidin sebagai Menteri Pendidikan agar mentadbir dengan mentaliti yang profesional, dan sentiasa bertitik tolak dari perspektif seluruh rakyat. Di samping itu, beliau digesa agar mengambil langkah proaktif untuk berinteraksi dengan pertubuhan seperti Dong Jiao Zong, institusi akademik dan pakar akademik untuk menggubal dasar pendidikan yang sesuai, agar layanan saksama diberikan kepada semua sekolah dari pelbagai aliran, lantas mempertingkatkan kualiti dan daya saing pendidikan negara kita.
- Dong Jiao Zong menggesa Menteri Pendidikan memandang berat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi sekian lama, iaitu kekurangan tenaga guru di sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan cina, menambah bina sekolah dan peruntukan dana secara bersistematik, di samping memberi bantuan dan sokongan secara proaktif untuk pembangunan sekolah menengah persendirian cina (SMPC).
Selain itu, Kementerian Pendidikan harus mengumumkan perkara berkenaan Lembaga Pengelola di bawah Akta Pendidikan 1966, untuk menyelesaikan isu pengenalan Jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, juga kedudukan SJK Cina dan Tamil yang dicabar di mahkamah, kononnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan; untuk menjamin pembangunan lestari pendidikan pelbagai aliran; mempertahankan kepelbagaian, kemakmuran dan keharmonian negara.
- Dong Jiao Zong menggesa agar kerajaan mengumumkan laporan Jawatankuasa Khas Peperiksaan Bersepadu (UEC), dan mengumumkan secara rasmi pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
2020年2月25日 | Kenyataan Media
Hentikan politik kotor
Kenyataan media Dong Zong dan Jiao Zong
25 Februari 2020
Kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong berhubung senario politik terkini:-
1.Dong Jiao Zong mengecam sekeras-kerasnya kegelojohan sesetengah politikus oportunis untuk merebut kuasa. Mereka lebih mengutamakan kepentingan diri daripada kepentingan negara, sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja demi merebut kuasa. Keadaan ini mengakibatkan negara kita terjerumus ke dalam kekecohan dan pertentangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sudah tentu ia menjejaskan pembangunan negara jikalau tidak dihentikan serta-merta.
2.Dong Jiao Zong menegaskan bahawa langkah mana-mana parti politik yang mahu menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang, adalah bercanggahan dengan semangat demokrasi, malah satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat. Langkah yang tidak beretika ini harus dikecam dan ditolak seluruh rakyat.
3.Dong Jiao Zong berpandangan bahawa kekalutan politik terkini hanya boleh dirungkaikan dengan pembubaran parlimen, untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum. Kuasa harus dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan masa depan negara, agar sumber dan tenaga masyarakat disatukan semula untuk pembangunan dan pembinaan negara.
2020年2月7日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
7 Februari 2020
Berkenaan dengan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap
Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir baru-baru ini yang menyatakan hasrat beliau untuk melaksanakan semula rancangan Sekolah Wawasan di seluruh negara, Dong Jiao Zong dengan tulus ikhlasnya mengemukakan pandangan dan pendapat seperti berikut:
1. Konsep asal Sekolah Wawasan adalah berteraskan “objektif terakhir (ultimate objective) ”dalam Penyata Razak 1956 yang menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang seragam bagi semua jenis sekolah perlu dilaksanakan sepenuhnya secara beransur-ansur, ini bermakna sekolah pelbagai aliran akan diubahkan kepada sekolah satu aliran pada akhirnya. Sehubungan itu, Dong Jiao Zong tidak setuju dengan pelaksanaan Sekolah Wawasan dan menegaskan pendirian untuk mengekalkan sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah yang telah wujud sejak kemerdekaan hingga sekarang.
2. Dong Jiao Zong berpendapat bahawa pandangan sempit yang menuduh “sistem sekolah pelbagai aliran menghalang perpaduan rakyat” tidak berasas sama sekali. Kewujudan sekolah pelbagai aliran adalah berasaskan prinsip pendidikan bahasa ibunda. Walaupun setiap aliran sekolah menggunakan bahasa pengantar yang berlainan, tetapi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan kurikulum standard yang sama untuk dilaksanakan di semua aliran sekolah. Maka, segala ilmu pengetahuan dan nilai-nilai yang diajar dan dipelajari di semua aliran sekolah adalah sama.
Selain itu, semua aliran sekolah terbuka kepada ibu bapa setiap kaum untuk memilih mana-mana aliran sekolah bagi anak-anak mereka secara bebas. Sebagai contoh, sebanyak 18% daripada murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bukan keturunan kaum Cina. Ini jelas menunjukkan bahawa sekolah pelbagai aliran langsung tidak menghalang perpaduan rakyat.
3. Dong Jiao Zong menyokong penuh aktiviti-aktiviti dan program-program yang menyumbang kepada integrasi antara murid-murid berbilang kaum. Sehubungan itu, Dong Jiao Zong telah mengambil inisiatif untuk mengadakan aktiviti-aktiviti dan program-program antara kaum dan silang budaya yang menggalakkan penyertaan murid-murid berbilang kaum dari semua aliran sekolah. Kami amat berbesar hati kerana aktiviti-aktiviti dan program-program tersebut mendapat sambutan hangat dan mencapai hasil yang positif.
Justeru itu, Dong Jiao Zong menyeru kerajaan memperkasakan pelaksanaan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan(RIMUP) yang telah dipersetujui oleh semua pihak berkepentingan supaya interaksi dan kesefahaman antara murid-murid dari sekolah pelbagai aliran dapat dipertingkatkan melalui kegiatan-kegiatan yang disediakan khas untuk penyertaan atau partisipasi bersama. Maka pelaksanaan semula rancangan Sekolah Wawasan yang telah ditolak oleh orang ramai sebelum ini adalah tidak wajar.
2020年2月7日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
7 Februari 2020
Berkenaan dengan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir baru-baru ini yang menyatakan hasrat beliau untuk melaksanakan semula rancangan Sekolah Wawasan di seluruh negara, Dong Jiao Zong dengan tulus ikhlasnya mengemukakan pandangan dan pendapat seperti berikut:
1. Konsep asal Sekolah Wawasan adalah berteraskan “objektif terakhir (ultimate objective) ”dalam Penyata Razak 1956 yang menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang seragam bagi semua jenis sekolah perlu dilaksanakan sepenuhnya secara beransur-ansur, ini bermakna sekolah pelbagai aliran akan diubahkan kepada sekolah satu aliran pada akhirnya. Sehubungan itu, Dong Jiao Zong tidak setuju dengan pelaksanaan Sekolah Wawasan dan menegaskan pendirian untuk mengekalkan sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah yang telah wujud sejak kemerdekaan hingga sekarang.
2. Dong Jiao Zong berpendapat bahawa pandangan sempit yang menuduh “sistem sekolah pelbagai aliran menghalang perpaduan rakyat” tidak berasas sama sekali. Kewujudan sekolah pelbagai aliran adalah berasaskan prinsip pendidikan bahasa ibunda. Walaupun setiap aliran sekolah menggunakan bahasa pengantar yang berlainan, tetapi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan kurikulum standard yang sama untuk dilaksanakan di semua aliran sekolah. Maka, segala ilmu pengetahuan dan nilai-nilai yang diajar dan dipelajari di semua aliran sekolah adalah sama.
Selain itu, semua aliran sekolah terbuka kepada ibu bapa setiap kaum untuk memilih mana-mana aliran sekolah bagi anak-anak mereka secara bebas. Sebagai contoh, sebanyak 18% daripada murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bukan keturunan kaum Cina. Ini jelas menunjukkan bahawa sekolah pelbagai aliran langsung tidak menghalang perpaduan rakyat.
3.Dong Jiao Zong menyokong penuh aktiviti-aktiviti dan program-program yang menyumbang kepada integrasi antara murid-murid berbilang kaum. Sehubungan itu, Dong Jiao Zong telah mengambil inisiatif untuk mengadakan aktiviti-aktiviti dan program-program antara kaum dan silang budaya yang menggalakkan penyertaan murid-murid berbilang kaum dari semua aliran sekolah. Kami amat berbesar hati kerana aktiviti-aktiviti dan program-program tersebut mendapat sambutan hangat dan mencapai hasil yang positif.
Justeru itu, Dong Jiao Zong menyeru kerajaan memperkasakan pelaksanaan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan(RIMUP) yang telah dipersetujui oleh semua pihak berkepentingan supaya interaksi dan kesefahaman antara murid-murid dari sekolah pelbagai aliran dapat dipertingkatkan melalui kegiatan-kegiatan yang disediakan khas untuk penyertaan atau partisipasi bersama. Maka pelaksanaan semula rancangan Sekolah Wawasan yang telah ditolak oleh orang ramai sebelum ini dalah
tidak wajar.
2020年2月5日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
5 Februari 2020
YAB Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir berkata bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam mesyuarat khas bersama pentadbiran Kementerian Pendidikan pada 30 Januari 2020. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia ( Dong Zong ) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia ( Jiao Zong ) memandang serius terhadap isu ini dan mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut.
1. Dong Jiao Zong bersetuju dengan keperluan dan kepentingan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di kalangan murid-murid. Bagaimanapun, pelaksanaan dasar “Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)” dari tahun 2003 hingga 2009 yang berakhir dengan kegagalan jelas membuktikan bahawa dasar PPSMI bukan sahaja tidak berkesan untuk meningkatkan penguasaan murid-murid terhadap Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik malah mengakibatkan kemerosotan pencapaian murid-murid dalam mata pelajaran
Pendidikan memainkan peranan penting untuk menentukan masa depan setiap generasi, sekiranya kerajaan melaksanakan semula dasar PPSMI yang bercanggah dengan teori pendidikan, pasti mendatangkan impak negatif kepada pendidikan negara kita. Maka, sebarang dasar dan langkah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hendaklah menepati keperluan sebenar dengan mengutamakan hasil analisis yang menyeluruh dan pandangan profesional mengenai pendidikan.
2. Walaupun dibantah keras oleh rakyat, namun kerajaan tetap melaksanakan dasar PPSMI pada tahun 2003. Bagaimanapun, setelah 6 tahun pelaksanaan dasar PPSMI, KPM terpaksa membatalkan dasar ini kerana bukan sahaja gagal meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, malah pencapaian murid-murid dalam Sains dan Matematik juga merosot. Kajian ahli akademik juga menunjukkan bahawa pencapaian murid-murid negara kita dalam pentaksiran PISA dan TIMSS pada masa itu berada di bawah taraf antarabangsa disebabkan pelaksanaan PPSMI. Namun setelah dasar PPSMI dimansuhkan pada tahun 2009, prestasi pencapaian murid-murid negara kita dalam pentaksiran PISA tahun 2018 telah menunjukkan peningkatan.
Kajian UNESCO telah menunjukkan bahawa murid-murid belajar dengan lebih berkesan apabila diajar dalam bahasa ibunda. Maka, dasar PPSMI jelas bercanggah dengan saranan UNESCO yang mengutamakan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda. Selain itu, banyak kajian ilmiah yang dijalankan di peringkat antarabangsa juga membuktikan kesan negatif PPSMI dan tidak memberi manfaat kepada pembelajaran murid-murid.
3. Memandangkan prestasi institusi pendidikan awam semakin merosot, ramai ahli akademik telah membuat seruan supaya pembaharuan pendidikan negara kita dijalankan dengan segera. Berikutan dengan perkembangan AI yang semakin pesat, kebanyakan negara telah menjalankan pembaharuan pendidikan dengan menitikberatkan pendidikan yang berorientasikan perkembangan aspek kemanusiaan dan kemenjadian murid-murid, serta melaksanakan kurikulum sekolah yang mengutamakan unsur-unsur pemikiran kreatif, kemahiran berfikir aras tinggi dan pembelajaran merentas kurikulum.
Pembaharuan pendidikan bagi Malaysia Baru hendaklah selaras dengan arus perkembangan global dan sanggup berdepan dengan cabaran masa akan datang tetapi bukan meneruskan minda lama yang ketinggalan zaman, seperti melaksanakan semula dasar PPSMI yang telah terbukti gagal. Sehubungan itu, Dong Jiao Zong menyeru supaya kerajaan Pakatan Harapan bertindak segera untuk melantik seorang Menteri Pendidikan yang berpandangan jauh dan berketrampilan dalam menerajui pembangunan pendidikan negara sejajar dengan arus perkembangan pendidikan sedunia. Sebelum pelantikan Menteri Pendidikan yang baru, KPM tidak patut melaksanakan sebarang dasar pendidikan baru secara tergesa-gesa.
4. Dong Jiao Zong menyeru supaya KPM mengadakan perbincangan terperinci dengan pertubuhan-pertubuhan pendidikan dan ahli-ahli akademik sebelum membuat sebarang keputusan mengenai dasar pendidikan. Adalah penting bagi kerajaan untuk mendengar pandangan-pandangan rakyat, khasnya pihak-pihak yang berkepentingan supaya dasar pendidikan yang digubal oleh kerajaan mendapat persetujuan semua pihak. Sehubungan itu, kami ingin mengingatkan Kabinet supaya mengambil kira pandangan rakyat dan pendapat profesional dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan semula PPSMI.
2020年1月17日 | Kenyataan Media
Kenyataan media Dong Zong
Menaruh harapan agar peruntukan yang adil diinstitusikan:
Dong Zong menyambut baik dana bantuan untuk SMPC dan Kolej Universiti
17 Januari 2020
Dong Zong mengiktiraf langkah peruntukan dana daripada Kementerian Kewangan kepada sekolah menengah persendirian cina (SMPC) dan tiga buah kolej universiti untuk dua tahun berturut-turut.
Menyusuli peruntukan pada tahun 2019, Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM 2juta kepada Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang dan Kolej Universiti Selatan masing-masing, untuk kegunaan pembangunan; di samping peruntukan sejumlah RM15 juta kepada SMPC seluruh negara. Sagu hati yang diberikan di ambang Tahun Baru Cina ini telah meredakan tekanan kewangan kolej universiti yang dikelolakan komuniti. Penambahan RM3 juta berbanding peruntukan pada tahun lalu menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan memandang berat institusi pendidikan yang bukan berorientasikan keuntungan (non-profit).
Ketiga-tiga buah kolej universiti kelolaan komuniti dan SMPC di Malaysia telah melahirkan bakat-bakat yang memberi sumbangan kepada negara. Mereka wajar diberi sokongan kerajaan lantaran sumbangan yang dicurahkan sepanjang tahun-tahun ini. Kami berharap agar kerajaan Pakatan Harapan menyedari kepentingan pelaburan dalam bidang pendidikan untuk mempertingkatkan daya saing negara dan kualiti rakyat.
Peruntukan kepada SMPC dan kolej universiti kelolaan komuniti buat sulung kali adalah selangkah besar dalam sejarah. Moga-moga ia disusuli dengan dasar yang lebih adil untuk semua sekolah dari pelbagai aliran pendidikan. Peruntukan dana yang adil harus diinstitusikan agar institusi pendidikan yang bukan berorientasikan keuntungan boleh terus memberi sumbangan kepada pembangunan negara.